suria

Menteri Pertahanan Jamin Proses PRU-13 Di Sabah Akan Berjalan Lancar

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan kawalan keselamatan di Sabah, khususnya di Lahad Datu tidak terganggu jika pilihan raya umum ke-13 dilaksana dalam masa terdekat.

Katanya beliau juga yakin pilihan raya umum itu dapat dilaksana serentak di seluruh negara termasuk di Lahad Datu kerana ada tambahan lima batalion anggota keselamatan untuk mengawal di kawasan pencerobohan terbabit.

"Saya mempunyai keyakinan penuh...oleh kerana anggota tentera dan polis akan diizinkan untuk mengundi awal, mereka akan berada di posisi yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa bagi mewujudkan keamanan," katanya kepada Bernama selepas temu bual program 'Helo Malaysia' terbitan Bernama TV, di sini.

Selain itu katanya ketegangan tidak membabitkan semua kawasan di Lahad Datu tetapi hanya di Tanjung Batu, Tanjung Labian dan Kampung Tanduo serta di kawasan penempatan Felda berhampiran yang dikenal pasti sebagai zon merah.

"Pada hemat saya pilihan raya sebagai menterjemahkan proses demokrasi akan berjalan dan keamanan akan dijaga oleh pihak polis dan tentera di tempat-tempat berkenaan.

"Kalau ada pilihan raya, mereka (rakyat) akan dijaga dengan sebaik-baiknya," katanya.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff sebelum ini berkata SPR tidak menolak kemungkinan proses pilihan raya di Lahad Datu dan Semporna, Sabah akan ditunda jika konflik di kawasan itu berterusan dan diisytihar darurat oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, Ahmad Zahid menyangkal dakwaan segelintir pihak bahawa imej kerajaan telah tercalar apabila tercetusnya peristiwa berdarah di Lahad Datu yang setakat ini mengorbankan 10 anggota keselamatan dalam Operasi Daulat.

Sebaliknya, beliau berkata insiden itu membawa perubahan dalam kalangan rakyat, terutama kaum Cina yang pada tanggapan ramai sebelum ini tidak memihak kepada kerajaan sedia ada terutama kerajaan negeri Sabah.

"Mereka tahu bagaimana kerajaan bersungguh-sungguh mempertahankan mereka sebagai rakyat dan peniaga. Oleh kerana perniagaan mereka terjejas untuk beberapa minggu sebelum operasi dilakukan, saya dapat beberapa maklum balas yang mereka cukup berterima kasih atas usaha yang dilakukan kerajaan melalui angkatan tentera dan polis.

"Saya harap ini adalah kesedaran baru yang akan muncul dalam kalangan bukan bumiputera terhadap kesungguhan kerajaan mempertahankan mereka sebagai rakyat Malaysia," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain