suria

Lelaki Dicari Bantu Siasatan Kes Samun Guna Pistol

KUALA LUMPUR: Polis sedang menjejaki seorang lelaki untuk membantu siasatan lebih 11 kes samun premis perniagaan menggunakan pistol di sekitar Seremban dan ibu negara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata lelaki itu dikenal pasti sebagai Teck Beng, 41, yang beralamat di No 63, Jalan Enam, Kampung Baru di sini.

Katanya kes samun terakhir berlaku pada 19 Feb lepas apabila seorang pekerja wanita di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kuchai Lama disamun wang tunai RM74.45 selepas diugut dan diacukan pistol.

"Mangsa didatangi suspek pukul 2.30 pagi dan minta dipinjamkan kotak dan 'marker' kononnya nombor plat keretanya pecah. Tidak lama kemudian suspek kembali ke kedai tersebut dan mengacukan pistol sebelum mengugut mangsa menyerahkan wang perniagaan," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Suspek melarikan diri dengan sebuah kereta tetapi nombor platnya tidak dapat dikenal pasti, katanya.

Ku berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8 (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjatapi 1970, serta Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan.

Mengulas kes lain, Ku berkata polis menjejaki kumpulan pemandu teksi palsu yang melakukan samun ke atas penumpang dengan kes terbaru semalam.

"Individu yang berpura-pura menjadi pemandu teksi ini menggunakan teksi yang disamun sebelum itu untuk melakukan jenayah samun ke atas penumpang pula," katanya.

Ku berkata semalam, polis menemui sebuah teksi yang ditinggalkan 'pemandu teksi' palsu ini semasa cuba menyamun seorang wanita di dalam teksinya, di sebuah bangunan pejabat di Kerinchi.

"Polis sebelum itu menerima laporan dari seorang pengawal keselamatan yang memaklumkan pemandu teksi itu cuba menyamun seorang wanita pukul 9.40 pagi. Namun, apabila mengetahui dirinya (suspek) dilihat pengawal keselamatan tersebut, suspek melarikan diri dan meninggalkan teksi itu.

"Siasatan mendapati teksi tersebut dengan nombor plat WHD 4778 (palsu) ini telah dilaporkan hilang di Petaling Jaya pada 5 Mac lepas dan telah melakukan banyak kes samun ke atas penumpang," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain