suria

KPDNKK Rampas Karaoke Cetak Rompak Bernilai RM2.5 Juta

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menumpaskan sindiket cetak rompak karaoke dengan merampas barangan bernilai RM2.5 juta dan menahan seorang lelaki dalam satu serbuan di sebuah premis di Setapak, Isnin lepas.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata operasi itu dijalankan sepasukan tujuh pegawainya bersama dua pegawai CyberSecurity Malaysia dengan diketuai Pegawai Penguatkuasa kementerian itu, Rohaizad Zahari.

"Kami telah membuat serbuan terhadap premis tersebut setelah menerima aduan daripada Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), dan dalam serbuan itu, kami telah menyita 54 unit cakera keras dan setiap satu boleh memuatkan lebih 150,000 buah lagu karaoke," katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.

Beliau berkata kebanyakan lagu yang disyaki diciplak adalah hits tempatan dan luar negara seperti keluaran Universal Music, Rock Records, Sony Music, Warner Music dan KRU.

"Siasatan awal kami mendapati tempat itu mempunyai 'Master Computer' yang mengandungi sepuluh unit cakera keras yang dijadikan sebagai perpustakaan lagu bagi memindahkan lagu kepada cakera keras lain untuk dipasarkan ke pusat karaoke," katanya sambil menambah siasatan lanjut diteruskan di pusat karaoke setiap negeri dan RIM akan bekerjasama dengan KPDNKK.

Rosli juga berkata pada tahun ini, sebanyak 13 kes cetak rompak lain dilapor membabitkan nilai rampasan sebanyak RM158,436. - BERNAMA

Artikel Lain