suria

Kes Sosilawati: Proses Pembakaran Mayat Hanya Boleh Dilakukan Orang Berpengalaman - Saksi

SHAH ALAM: Perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu diberitahu proses pembakaran mayat hanya boleh dilakukan oleh orang yang berpengalaman dalam bidang itu.

C. Balasubramaniam, 50, yang terlibat dalam bidang pembakaran mayat sejak berumur enam tahun, berkata tugas itu sukar dilakukan orang yang tidak pernah mempunyai pengalaman berkenaan.

Selepas mengambil alih tugas membakar mayat daripada bapanya pada 1985, beliau telah menguruskan beribu mayat dan berdasarkan pengalamannya, proses pembakaran mengambil masa kira-kira lima jam bagi satu mayat, katanya pada pemeriksaan utama oleh peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili tertuduh ketiga, R.Matan.

Ketika ditanya bagaimana suhu di kawasan sekitar ketika proses pembakaran mayat berlaku, Balasubramaniam berkata suhu sangat tinggi menyebabkan sesiapa pun tidak boleh berdiri berhampiran tempat pembakaran mayat.

Amer Hamzah: Bagaimana kamu sendiri boleh jalankan proses pembakaran mayat sedangkan suhu begitu tinggi.

Balasubramaniam: Pada dua jam pertama bila mayat telah mula dibakar memang tidak dapat berdiri berhampiran, selepas dua jam suhu akan turun balik dan saya boleh teruskan kerja saya.

Kepada soalan lain Amer Hamzah, saksi itu berkata hanya kayu getah sesuai digunakan untuk pembakaran mayat.

Amer Hamzah turut menunjukkan kepada saksi itu sebatang kayu bakau yang merupakan eksibit dalam kes berkenaan dan ketika ditanya sama ada kayu itu boleh digunakan untuk membakar mayat, Balasubramaniam menjawab ia terlalu kecil.

Ketika ditanya bagaimana keadaan kayu yang digunakan untuk membakar mayat selepas proses pembakaran selesai, saksi itu menjawab ia akan terbakar dan menjadi abu.

Amer Hamzah: Tentang penyusunan kayu untuk membakar mayat, ada atau tidak cara khusus untuk menyusunnya atau longgokkannya sahaja.

Balasubramaniam: Ada cara-cara untuk susun kayu. Kalau orang biasa yang tiada pengalaman dia tidak tahu cara nak menyusunnya.

Bekas peguam, N.Pathmanabhan, 43, dan tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, 21, Matan, 22, dan R.Kathavarayan, 33, diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam perbicaraan sebelum ini, pihak pendakwaan telah mencadangkan bahawa Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin telah dibunuh oleh keempat-empat tertuduh dan mayat mereka telah dibakar di ladang berkenaan, tetapi perkara itu telah dinafikan Pathmanabhan, Thilaiyalagan, Matan dan Kathavarayan.

Sementara itu, saksi ke-11 pihak pembelaan, penyelia tapak pembinaan, R.Ganesan, 46, berkata beliau telah menghantar anak lelakinya Thanesh yang berusia 15 tahun ke ladang Gadong pada 31 Ogos 2010 untuk bekerja di sana.

"Saya hantar dia (Thanesh) ke sana kerana anak saya bermasalah kerana selalu ambil wang saya tanpa kebenaran. Jadi saya nak dia bekerja di ladang supaya dia tahu betapa susah nak hidup dan cari wang," katanya pada pemeriksaan utama oleh peguam Pushpa Ratnam yang mewakili Pathmanabhan.

Kepada soalan Amer Hamzah, saksi itu berkata sepanjang berada di ladang itu selama setengah jam, beliau tidak melihat perkara yang mencurigakan dan ladang itu berada dalam keadaan tenang.

Bagaimanapun, ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani, Ganesan menafikan cadangan Idham bahawa beliau sebenarnya menghantar Thanesh ke ladang pada 3 September 2010 dan bukan pada 31 Ogos 2010.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung esok. - BERNAMA

Artikel Lain