suria

Kerajaan Telah Lakar Rancangan Hadapi Proses Liberalisasi Industri Automotif

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan Batu Asas Kilang Baru PERODUA sambil diperhatikan oleh Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin (kanan) semasa majlis Upacara Meletakkan Batu Asas Kilang Baru Perodua dan Pelancaran Model "S" Series Perodua di Perusahaan Otomobil Kedua Perodua Sungai Choh, Rawang, Rabu. -fotoBERNAMA
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan Batu Asas Kilang Baru PERODUA sambil diperhatikan oleh Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin (kanan) semasa majlis Upacara Meletakkan Batu Asas Kilang Baru Perodua dan Pelancaran Model
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan Batu Asas Kilang Baru PERODUA sambil diperhatikan oleh Pengerusi PERODUA, Tan Sri Asmat Kamaludin (kanan) semasa majlis Upacara Meletakkan Batu Asas Kilang Baru Perodua dan Pelancaran Model "S" Series Perodua di Perusahaan Otomobil Kedua Perodua Sungai Choh, Rawang, Rabu. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan telah melakar rancangan bagi memastikan perubahan dari industri automotif adalah saksama selepas proses liberalisasi.

Katanya perubahan yang teratur adalah perlu kerana perubahan yang mendadak akan memberi impak yang besar kepada ekosistem automotif negara.

"Dalam melaksanakan liberalisasi sepenuhnya, kerajaan telah melakar rancangan untuk memastikan perubahan yang bakal dilalui adalah saksama untuk semua," katanya semasa merasmikan kereta model "S" Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) di sini, Rabu.

Beliau berkata masa akan tiba di mana industri automotif negara perlu diliberalisasikan supaya dapat bersaing pada peringkat global.

"Dengan wujudnya persekitaran persaingan global yang amat kompetitif, adalah mustahak bagi syarikat-syarikat pengeluar kenderaan tempatan untuk menjadi lebih kompetitif dan bersiap-sedia dengan cabaran yang semakin hebat," katanya.

Menurutnya, syarikat pengeluar kereta tempatan seperti Perodua perlu memastikan terus fokus untuk menjadi sebuah syarikat yang berorientasikan global dan bukan semata-mata hebat dalam pasaran domestik sahaja.

Dalam hubungan ini, beliau berkata adalah penting syarikat-syarikat pengeluar kenderaan memperkukuhkan lagi aktiviti syarikat untuk memastikan mereka terus mampu beroperasi dan bersaing apabila industri automotif negara semakin diliberalisasikan berikutan komitmen negara pada peringkat antarabangsa seperti di bawah Perjanjian-perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

"Kita telah dapat lihat penurunan harga model kenderaan secara berperingkat-peringkat sebanyak 3.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi kenderaan baharu pada suku ke-empat tahun lepas," katanya.

Katanya penurunan itu merupakan hasil usaha perbincangan pihak kerajaan dengan syarikat dan ianya merupakan permulaan kepada rancangan jangka panjang kerajaan untuk menurunkan harga kenderaan.

"Saya ingin menegaskan bahawa penurunan harga kereta secara mendadak akan menjejaskan pembangunan industri ini secara keseluruhan dan mempunyai impak ke atas pembangunan ekonomi negara," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata kerajaan juga bercadang menjadikan Malaysia sebagai hab bagi pengeluar kenderaan jimat tenaga atau Energy Efficient Vehicles (EEV).

"Selaras dengan hala tuju kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluar EEV, saya menyeru supaya Perodua membantu syarikat-syarikat sokongan seperti pengeluar komponen, untuk menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan komponen EEV," katanya.

Menurutnya, bantuan itu akan dapat membantu syarikat-syarikat tersebut untuk lebih berdaya saing bukan sahaja di dalam industri automotif tempatan, malah boleh menjadi pembekal kepada syarikat-syarikat automotif gergasi pada peringkat serantau dan global. - BERNAMA

Artikel Lain