suria

Dua Lagi Warga India Ditahan, Dadah Bernilai RM1.4 Juta Dirampas

ALOR SETAR: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Negeri Kedah menahan dua lelaki warganegara India dan merampas dadah jenis ketamin dan syabu bernilai kira-kira RM1.4 juta dalam dua kes berasingan di Langkawi dan Alor Setar.

Pengarah Kastam Negeri Kedah Datuk Abdul Aziz Abdul Latif berkata dalam kes pertama pada 2 Mac lepas kira-kira pukul 3.45 petang, anggotanya yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi telah membuat imbasan ke atas sebuah beg pakaian milik seorang lelaki dari Bangalore berumur 23 tahun dan mendapati imej pada beg tersebut adalah mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan pada bagasi tersebut, kita menjumpai 21 beg kecil (beg laptop) yang di dalamnya terdapat hablur kristal putih disyaki dadah jenis ketamin. "Jumlah kasar hablur kristal putih itu ialah 10.322 kilogram yang dianggar bernilai RM361,270," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Dalam kes kedua di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini, beliau berkata seorang lelaki dari Chennai berumur 23 tahun telah ditahan oleh pasukan Kastam Unit Narkotik Alor Setar pada Ahad lepas kira-kira pukul 3.30 petang selepas pemeriksaan ke atas beg bagasi yang dibawanya menjumpai hablur kristal putih disyaki dadah jenis syabu.

"Syabu yang dibungkus dengan satu beg plastik besar dengan berat 5.03 kilogram itu disorokkan di bahagian dasar beg pakaian tersebut. Nilai pasaran dadah tersebut ialah kira-kira RM955,700 iaitu satu kilogram syabu dianggarkan bernilai RM190,000," katanya. Abdul Aziz berkata berdasarkan kepada pasportnya, suspek telah enam kali datang ke Malaysia iaitu empat kali ke Kuala Lumpur, sekali ke Kuantan, Pahang dan sekali ke Alor Setar.

"Kita masih menyiasat sama ada kedua-dua lelaki tersebut adalah dari sindiket yang sama atau sebaliknya," katanya.

Katanya pihaknya percaya dadah-dadah tersebut akan dipasarkan di kawasan utara iaitu di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Beliau berkata kedua-dua suspek telah direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan akan dikenakan hukuman mati mandatori.

Minggu lalu, KDRM Terengganu turut menahan dua warga India yang cuba menyeludup masuk ketamin bernilai RM813,375, di Lapangan Terbang Sultan Mahmud dan Kampung Seberang Takir. -BERNAMA

Artikel Lain