suria

Dadah Bernilai RM19.6 Juta Dirampas Dari Januari Hingga Semalam

PUTRAJAYA: Bagi tempoh Januari hingga semalam, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan 31 percubaan penyeludupan dadah bernilai RM19.63 juta.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili berkata daripada 31 kes itu, sebanyak 17 kes dilaporkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Pada bulan Mac sahaja, empat kes berjaya dipatahkan dengan nilai rampasan RM2.66 juta," katanya pada sidang media di sini Rabu.

Beliau berkata tiga kes penyeludupan dadah menggunakan modus operandi yang sama iaitu dengan menyorakkan dadah methamphetamine dalam ruang khas bagasi.

"Kes pertama pada 6 Mac membabitkan seorang wanita warga Thailand berusia lingkungan 39 tahun dari Doha yang cuba menyeludup dadah seberat 6.2kg bernilai RM1.18 juta," katanya. Kes keempat pula iaitu pada 8 Mac, seorang warga India berusia 25 tahun yang tiba dari Dubai ditahan ketika cuba menyeludup dadah jenis ketamine seberat 5.7 kg bernilai RM200,000 yang disorok dalam bingkai gambar.

Matrang berkata kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Beliau berkata pihaknya juga telah mengeluarkan arahan berjaga-jaga kepada semua kastam negeri memandangkan sindiket penyeludupan dadah kini dikesan menukar modus operandi mereka dengan menjadikan KLIA hanya sebagai transit sebelum meneruskan perjalanan dengan penerbangan domestik.

"Ini kerana tahun ini sahaja terdapat sembilan kes dadah dilaporkan berlaku di lapangan terbang negeri antaranya di Lapangan Terbang Sibu, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Terengganu," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain