suria

Proses Penarafan Kolej Komuniti Mulai Pertengahan Tahun Ini - Khaled Nordin

KUCHING: Kementerian Pengajian Tinggi akan melaksanakan proses penarafan bintang untuk kesemua 84 buah kolej komuniti di seluruh negara mulai pertengahan tahun ini, kata Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya instrumen untuk melaksanakan proses ini sedang dibangunkan yang bertujuan untuk menentukan tahap penyampaian dan perkhidmatan yang diberikan oleh setiap kolej berkenaan.

Bercakap dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran program Pemerkasaan Kolej Komuniti dan Karnival Pembelajaran Sepanjang Hayat peringkat Zon Sarawak di sini pada Selasa, beliau berkata penarafan ini akan menjadi panduan untuk memperbaiki lagi sebarang kelemahan yang telah dikenal pasti dalam operasi kolej-kolej berkenaan.

Proses penarafan ini katanya adalah sebahagian daripada usaha-usaha di bawah Fasa Pemerkasaan Kolej Komuniti yang berlangsung selama dua tahun bermula tahun ini.

"(Di bawah proses ini) kita menekankan dari segi output sesebuah kolej komuniti itu, sejauh mana masyarakat benar-benar mendapat manfaat," katanya.

Mohamed Khaled berkata proses pemerkasaan kolej ini akan turut melibatkan pendekatan melahirkan pensyarah-pensyarah pakar dalam bidang-bidang yang ditawarkannya untuk meningkatkan lagi kedudukan dan reputasi institusi berkenaan.

Dalam ucapan perasmiannya sebelum itu, beliau berkata tenaga pengajar yang menunjukkan pencapaian yang tinggi dalam bidang masing-masing akan dikenal pasti untuk diberikan pendedahan tambahan sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Menurutnya pensyarah yang terpilih akan diberkan peranan yang signifikan dalam menyebarkan ilmu dan kemahiran bidang kepakaran mereka dan sekaligus menjadi pakar rujuk untuk pelajar-pelajar kolej komuniti.

"Secara tidak langsung juga sumbangan mereka (pensyarah pakar) akan memberi lebih makna kepada kolej tempat mereka bertugas kerana mata ganjaran penarafan Kolej Komuniti ini juga bergantung kepada bakat dan kompetensi tenaga pensyarah mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Lain