'Amah Lambung' Diarah Jalani Pemeriksaan Mental - Semasa | mStar

'Amah Lambung' Diarah Jalani Pemeriksaan Mental

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa yang mendengar rayuan kes pembantu rumah warga Indonesia yang didakwa mendera bayi majikannya Februari lepas, mengarahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai di Tampoi, Johor atau mana-mana yang sesuai selama tiga bulan bagi menjalani pemeriksaan mental.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya mengarahkan pembantu rumah itu, Yuliana, diperiksa pakar sakit jiwa setelah mengambil kira laporan perubatan dari Hospital Medan, Indonesia bahawa Yuliana pernah mendapatkan rawatan mental di hospital berkenaan lapan tahun lepas.

Beliau berkata mahkamah turut mendapati seorang daripada anggota keluarga pemohon turut mengalami sakit mental.

"Untuk keadilan dan membolehkan laporan mengenai tahap kewarasan pemohon disediakan, mahkamah dengan ini mengarahkan pemohon (Yuliana) dihantar ke Hospital Tampoi, Johor atau yang sesuai bagi menjalani pemeriksaan kewarasan mental pemohon mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Bagaimanapun Mariana menolak untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 20 tahun ke atas Yuliana sehingga laporan tahap kewarasan mentalnya dikeluarkan oleh pihak hospital.

Beliau menetapkan 20 Mei ini bagi mendengar laporan tahap kewarasan tertuduh sebelum menentukan sama ada hukuman terhadap tertuduh digantung atau diteruskan.

Pada 8 Mac lepas, Mahkamah Tinggi di sini mendengar permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara terhadap Yuliana berjumlah 20 tahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen pada 19 Februari lepas.

Permohonan itu dibuat selepas peguam tertuduh T.Vijayandran berkata Yuliana perlu dihantar ke hospital psikiatrik kerana dia tidak pernah menjalani pemeriksaan mental ketika dalam tahanan polis sehinggalah tertuduh dibawa ke mahkamah dan dijatuhi hukuman.

Yuliana, 23, dijatuhi hukuman penjara berjumlah 20 tahun selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan mendera seorang bayi lelaki berusia empat bulan pada 15 Februari lepas.

Bagi pertuduhan pertama, ibu dua anak itu didakwa menghempas dan melambung Mohamed Hareez Mohamed Zamri sebanyak sembilan kali yang boleh mendatangkan kematian mangsa pada 7.45 pagi, 15 Feb lepas di kediaman ibu bapa mangsa di nombor 7, Lorong Bukit Setongkol 38, Jalan Bukit Setongkol di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Bagi pertuduhan kedua, pada tempat dan masa yang sama, dia didakwa menganiaya Mohamed Hareez dengan tujuan mendatangkan kecederaan yang boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

Artikel Lain