suria

Persatuan Suluk Nafi Warga Filipina Pulang Bimbang Tindakan Pihak Berkuasa Malaysia

SANDAKAN: Persatuan Suluk Bersatu Sabah cawangan Sandakan pada Ahad menafikan dakwaan ribuan warga Filipina meninggalkan negeri itu kerana bimbang dikenakan tindakan ekoran insiden pencerobohan militan bersenjata Sulu di Lahad Datu.

Pengerusinya Jamal Ali berkata sebaliknya, pemantauan yang dilakukannya mendapati warga Filipina terbabit yang dikesan mula meninggalkan Sabah sejak Sabtu melakukannya secara sukarela.

"Saya sendiri turun untuk memantau pergerakan mereka dan mendapati mereka yang kebanyakan tidak memiliki dokumen sah serta individu yang memiliki dokumen mengakui pulang bersama anak dan keluarga secara sukarela dalam keadaan baik," katanya ketika ditemui di jeti nelayan di pasar umum Sandakan di sini Ahad.

Jamal, yang menaungi persatuan dengan lebih 300 anggota berketurunan Suluk berkata warga Filipina sepatutnya tidak terpengaruh dengan khabar angin berhubung kekerasan yang mungkin digunakan kerana yakin pihak keselamatan akan menangani isu itu dengan berhemah.

Beliau berkata demikian mengulas tulisan sebuah portal berita yang memetik laporan sebuah media Filipina yang mendakwa ribuan warga negara itu mula melarikan diri dari Sabah kerana bimbang akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain