suria

Rakyat Sarawak Perlu Bijak Pilih Wakil Rakyat

KUCHING: Rakyat Sarawak perlu bersikap bijak memilih calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti bagi memastikan kesinambungan dasar pembangunan kerajaan ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Peter Chin Fah Kui meminta rakyat negeri itu supaya memberi mandat yang besar kepada Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi meneruskan agenda transformasi kerajaan untuk faedah dan masa depan mereka.

"Kita boleh lihat kerajaan BN terus menyediakan suasana kehidupan yang menarik dan nyaman seperti taman pertemuan 'Le'Park' Kuching bagi golongan muda menjalankan pelbagai aktiviti riadah dan rekreasi," katanya pada majlis pelancaran Karnival MyGreen Kuching di taman tersebut di sini, Sabtu.

Majlis itu dilancarkan oleh Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu.

Chin, yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata kerajaan B Nakan terus membela nasib rakyat biasa menerusi pelbagai program bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) walaupun usaha itu dikritik oleh pembangkang.

Pada majlis itu, tarian Ngajat Iban dicatatkan dalam 'Malaysia Book of Records' sebagai persembahan terbesar tarian Ngajat dengan penyertaan 1,927 penari mewakili pelbagai persatuan belia di Sarawak.

Tarian Ngajat merupakan identiti utama masyarakat Iban di Sarawak dan tarian itu dipersembahkan semasa menyambut Hari Gawai dan ia juga diibaratkan sebagai sejenis tarian pahlawan tradisional suku kaum itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain