suria

Kerajaan Lebih Tumpu Pembangunan di Kawasan Pembangkang Hanya Dakyah - Salang

LAWAS: Rakyat di kawasan luar bandar Sarawak tidak harus percaya dengan dakyah kononnya pembangunan di kawasan mereka akan diberi lebih perhatian oleh kerajaan sekiranya diwakili pembangkang.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata tanggapan segelintir pihak bahawa kerajaan memberi lebih perhatian kepada pembangunan di kawasan bandar di negeri ini juga adalah tidak benar.

Beliau berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memikirkan cara yang terbaik untuk melaksanakan projek-projek pembangunan di kawasan luar bandar demi untuk memastikan masyarakatnya memperolehi manfaat sepenuhnya.

"Pembangunan (di bandar dan luar bandar) dilaksanakan melalui pembayaran-pembayaran cukai kepada kerajaan," katanya semasa berucap merasmikan pelancaran liputan perkhidmatan NanoGSM oleh Maxis Berhad di Long Semadoh, kawasan penempatan luar bandar yang terletak kira-kira 100km dari sini.

Salang yang juga Anggota Parlimen Julau meminta rakyat luar bandar untuk memahami bahawa proses pembangunan ini mengambil masa dan tidak dapat dilaksanakan secara sekali gus. Beliau berkata proses itu turut mengambil kira penggunaan teknologi baharu yang membolehkan pembangunan yang efisien dan menguntungkan rakyat.

Katanya pelaksanaan projek perkhidmatan NanoGSM di Long Semadoh merupakan satu daripada contoh kerajaan BN memanfaatkan teknologi terbaharu untuk menyediakan kemudahan telekomunikasi untuk penduduk luar bandar Sarawak.

Salang berkata usaha kerajaan itu akan dilakukan secara berterusan seiring dengan tujuan dan matlamatnya untuk memastikan penduduk kawasan luar bandar dapat menikmati kemudahan yang setaraf dengan penduduk di bandar.

"Kerajaan Barisan Nasional sudah lama memerintah dan kita semakin matang, banyak pengalaman dan pengetahuan untuk terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain