suria

Keluarga Hilang Dokumen Penting, Tingkat Atas Rumah Terbakar

PETALING JAYA: Sebuah keluarga kehilangan dokumen penting dan barangan kemas selepas bahagian atas rumah teres dua tingkat yang didiami mereka di Jalan 14/6 di sini terbakar pagi Jumaat.

S.Parasakthi, 43, berkata ketika kejadian kira-kira 10 pagi itu, ibu mertua, anak lelaki dan anak saudaranya berada di rumah sebelum menghubunginya memaklumkan tentang kejadian berkenaan.

"Ketika itu saya yang sedang bekerja terus bergegas balik ke rumah dan apabila sampai saya lihat tingkat atas rumah saya yang mempunyai dua bilik hangus.

"Semua dokumen penting seperti sijil kelahiran, pasport serta barang kemas musnah dalam kebakaran itu. Nasib baik mereka sempat menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Parasakthi berkata ketika kejadian anaknya sedang bersiap-siap untuk ke sekolah sebelum melihat api di tingkat atas rumah itu.

Beliau yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat kejuruteraan di sini berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Penolong Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.14 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian.

"Tiga jentera bomba dari Balai Bomba Petaling Jaya, Penchala dan Damansara dihantar ke lokasi bersama 17 anggota. Punca dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain