suria

Negeri Sembilan Tubuh Jawatankuasa Khas Banteras Judi Siber

SEREMBAN: Kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa khas yang akan bertanggungjawab memantau dan membanteras aktiviti perjudian siber yang semakin berleluasa di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, di bawah jawatankuasa itu juga beberapa langkah drastik diperkenalkan dan akan dilaksanakan serta-merta di mana antaranya termasuk mengenakan tindakan tegas terhadap pemilik premis.

"Sebelum ini tindakan hanya kepada penganjur dan pemain tapi kini kita mahu pemilik premis juga akan dikenakan tindakan, jika didapati mereka menyewa premis mereka kepada pihak yang menjalankan aktiviti haram itu.

"Selain itu kaedah baru iaitu 'tangkap terus dakwa' terhadap penganjur dan pemain turut diperkenalkan bagi memastikan mereka terus diberi hukuman sekali gus memberi pengajaran kepada orang ramai," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil pentauliahan kepada peguam syarie Mahkamah Syariah Negeri Sembilan, di sini, Rabu.

Katanya, premis yang dikenal pasti menjalankan perjudian siber turut akan disita dan perkhidmatan utiliti seperti bekalan eletrik, air dan perkhidmatan jalur lebar akan dihentikan.

"Selain serbuan berterusan oleh Polis Diraja Malaysia, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri dan pihak berkuasa tempatan, kita juga akan bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad, Syarikat Air Negeri Sembilan dan Telekom Malaysia untuk memastikan premis ini tidak meneruskan aktiviti mereka," katanya.

Terdahulu, Mohamad yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri berkata, peguam syarie terutamanya yang masih baru perlu berusaha mendapatkan pengalaman dan pengetahuan bagi memastikan mereka dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada anak guam mereka.

Katanya, perkara ini amat penting bukan sahaja kepada anak guam yang diwakili tetapi juga dalam meningkatkan imej dan mutu perkhidmatan dalam sistem Mahkamah Syariah.

"Keputusan yang ditentukan oleh hakim bergantung kepada hujah peguam syarie ini dan jika peguam tidak dapat menyampaikan hujah dengan baik kemungkinan keputusan tidak memihak kepada anak guamnya sekali gus menyebabkan mereka marah kepada mahkamah," katanya.

Pada majlis yang turut dihadiri Ketua Hakim Syarie negeri Datuk Mohd Shukor Sabudin itu, seramai 39 peguam syarie baru, menerima sijil pentauliahan. - BERNAMA

Artikel Lain