suria

Pelajar Maut Nahas Motosikal Dengan Anggota Polis

KUANTAN: Seorang pelajar lelaki terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah lagi motosikal di Jalan Kuantan-Maran dekat Batu 11 di sini.

Hisham Shamsudin, 19, dari Felda Lepar Hilir 3, Gambang, mati di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan semasa menerima rawatan malam Ahad.

Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, dalam kejadian 6.30 petang Ahad itu mangsa menunggang bersendirian dari arah Kuantan menuju ke Gambang.

"Di tempat kejadian di percayai, motosikal yang ditunggang seorang anggota polis, Mohd Nasir Dol Rashid, 54, dari arah bertentangan telah melintas jalan melalui lorong di tengah jalan untuk ke Taman Sri Mahkota Jaya di sini, sebelum dilanggar mangsa.

"Akibat itu, mangsa yang parah di kepala telah dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 10.34 malam tadi ketika menerima rawatan," katanya di sini Isnin.

Kata beliau anggota polis yang bertugas di Balai Polis Gambang di sini, juga mengalami kecederaan di tangan dan pinggang itu dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gambang.

"Kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain