suria

PPZ-MAWIP Sasar Kutip Zakat Harta RM430 Juta

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM430 juta tahun ini.

Pengurus Besar Operasi PPZ-MAWIP, Mohammed Hassan berkata, sasaran itu adalah daripada pembayaran zakat harta menerusi pelbagai saluran seperti bank, Pos Malaysia, portal dan kaunter PPZ-MAIWP.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan kutipan zakat harta sebanyak RM1.14 juta tahun ini menerusi 68 buah pejabat Pos Malaysia yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat di ibu kota.

Katanya, sasaran itu berdasarkan jumlah kutipan zakat menerusi Pos Malaysia tahun lepas yang mencecah hampir RM1 juta iaitu sebanyak RM943,938.95 yang mencatatkan peningkatan 19 peratus berbanding RM795,321.34 dalam tahun sebelumnya.

"Jumlah pembayar zakat harta menerusi Pos Malaysia juga meningkat kepada 1,265 daripada 1,040 orang (tahun lepas) dan peningkatkan ketara ini memperlihatkan prestasi baik Pos Malaysia dalam usaha meningkatkan kutipan zakat harta di bandaraya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Kaunter Pos dan Penghargaan Kaunter Angkat PPZ-MAIWP 2012 di sini, Isnin.

Pada majlis itu sebanyak lima kategori anugerah disampaikan PPZ-MAIWP kepada 13 kaunter Pos Malaysia di sekitar Kuala Lumpur sebagai tanda penghargaan.

Lima kategori anugerah berkenaan ialah Anugerah Jumlah Kutipan Zakat Tertinggi, Anugerah Pembayar Teramai, Anugerah Peningkatan Kutipan Tertinggi, Anugerah Peningkatan Pembayar Teramai dan Anugerah Konsistensi Penerimaan Bayaran. - BERNAMA

Artikel Lain