suria

Kerajaan Terus Perketat Kawalan Keselamatan Ekoran Serangan Terbaru Di Semporna - Musa Aman

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman meminta rakyat Sabah agar meyakini kewibawaan pasukan keselamatan mengawal keadaan bagi menangani isu pencerobohan kumpulan bersenjata di negeri ini.

Musa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negeri berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi jaminan bahawa keselamatan dan keamanan negeri Sabah sentiasa menjadi keutamaan. "Saya juga telah berhubung dengan kepimpinan tempatan di kawasan-kawasan tersebut dan saya yakin mereka mampu mengawal sentimen dan mengelakkan khabar-khabar angin yang boleh memudaratkan keadaan," katanya di dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Mengenai perkembangan serangan hendap oleh sekumpulan lelaki bersenjata di Semporna, semalam, Musa berkata beliau bersama-sama dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sedang memantau keadaan semasa di kawasan-kawasan selain Lahad Datu.

Dari sudut operasi pula, katanya, gerakan memantau keadaan semasa di seluruh Sabah sedang dilakukan bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin. Menteri malam tadi dan Perdana Menteri telah bersetuju kekuatan polis dan tentera dipertingkatkan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Keselamatan Negeri Sabah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jabatan Perdana Menteri Rodzi Md Saad dalam satu kenyataan berasingan berhubung larangan kemasukan ke pulau-pulau di Sabah, berkata MKN Negeri Sabah mengesahkan bahawa tidak ada sebarang larangan untuk memasuki pulau-pulau peranginan di negeri ini.

"Sehubungan itu, semua urusan atau aktiviti adalah berjalan seperti biasa dan MKN Sabah memohon maaf di atas kekeliruan yang berlaku," katanya.

Di PUTATAN, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin menasihatkan rakyat di Sabah agar tidak panik berikutan insiden yang mengorbankan nyawa dua anggota polis di Lahad Datu dan lima orang lagi di Semporna.

Katanya insiden yang berlaku di Pantai Timur Sabah itu sedang ditangani dengan baik pasukan keselamatan terutama polis dan tentera.

"Kita juga perlu patuh dan beri kerjasama kepada pasukan keselamatan yang menjalankan tugas. Jangan pula kita tergesa-gesa penutup kedai dan perniagaan, tidak menjalankan kegiatan seharian atau memberhentikan pekerja asing kita", katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Titik Sentuhan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Petagas, Ahad.

Yahya berkata rakyat perlu bertenang dan tidak menyebarkan khabar angin yang tidak berasas dan tidak disahkan sumbernya mengenai insiden di Lahad Datu dan Semporna atau mengenai keselamatan di negeri ini.

"Jika rakyat turut mengambil bahagian dengan menyebarkan khabar-khabar angin atau berita yang tidak sahih sumbernya, maka akan menjadikan rakyat bertambah gusar dan kelam kabut," katanya.

Di SEMPORNA, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta penduduk Semporna supaya memberi kerjasama penuh kepada anggota keselamatan bagi melancarkan proses menjaga keselamatan daerah berkenaan.

Shafie yang juga Anggota Parlimen Semporna berkata kerjasama seperti itu amat penting kerana penduduk kampung amat mengetahui selok belok kampung masing-masing dan mengenali siapa penduduk kampung mereka dan sebaliknya.

"Saya minta penduduk beri kerjasama dan bantuan bagi mudahkan tugas anggota keselamatan kerana terdapat anggota keselamatan yang kurang memahami selok belok kampung di sini.

Mungkin ada anggota keselamatan yang baru sampai dan tidak mengetahui keadaan rumah-rumah di tempat mereka bertugas, jadi sangat penting untuk penduduk kampung menerangkan keadaan kampung mereka," katanya ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang perlu diambil penduduk kampung bagi memastikan keselamatan mereka menghadapi insiden yang tidak diingini. -BERNAMA

Artikel Lain