suria

BN Taiping Buat Laporan Polis Terhadap Tian Chua, Dr Ronald Chia

TAIPING: Barisan Nasional (BN) Taiping pada Ahad membuat laporan polis terhadap dua pemimpin parti pembangkang berhubung kenyataan insiden pencerobohan di Lahad Datu yang didakwanya sebagai sandiwara dan konspirasi terancang kerajaan BN dan Umno.

Laporan itu dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah Taiping di sini pada pukul 10.30 pagi ini oleh wakil BN Taiping Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shafie terhadap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua dan anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Dr Ronald Chia.

Ahmad Shalimin, yang juga Ketua Umno Bahagian Taiping, diiringi oleh kira-kira 100 anggota parti komponen BN semasa membuat laporan itu.

Beliau berkata laporan itu dibuat supaya pihak polis dapat menyiasat dan mengambil tindakan tegas berhubung kenyataan yang disifatkannya sebagai fitnah dan hasutan yang boleh menggugat keselamatan negara. Di PUTATAN, SABAH, Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Yahya Hussein menyelar kenyataan Tian Chua itu dan menyifatkan ia sebagai tidak berasas.

Beliau menggambarkan pihak pembangkang langsung tidak menghormati dan menghargai jasa pengorbanan anggota polis yang terkorban dalam insiden pencerobohan bersenjata itu.

"Inilah kualiti pembangkang. Mereka hanya tahu membangkang walaupun membabitkan soal keselamatan dan keamanan Negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Titik Sentuhan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN)Petagas, dekat sini.

Di JOHOR BAHARU, Anggota Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata dakwaan Tian Chua merupakan bukti jelas pembangkang memperlekehkan pengorbanan anggota keselamatan negara.

"Di dalam keghairahan mereka untuk meraih undi, pembangkang akan bercakap apa sahaja yang tidak masuk akal. Mereka akan mempergunakan insiden tragik untuk mendapatkan keuntungan politik," katanya kepada pemberita selepas majlis Sumbangan Veteran Tidak Berpencen 1Malaysia (SVTB1M) Parlimen Pulai di sini.

Di KOTA TINGGI, JOHOR, anggota exco negeri Asiah Md Ariff berkata dakwaan Tian Chua itu sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan tidak berhemah selain mengambil kesempatan untuk meraih sokongan pengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

Di ALOR SETAR, Wanita Umno Kedah dan Bahagian Alor Setar membuat laporan polis terhadap kenyataan Tian Chua di Ibu Pejabat Polis Kota Setar.

Ketua Wanita Umno Bahagian Alor Setar Sharifah Maznah Syed Kassim berkata kenyataan Tian Chua itu adalah satu penghinaan kepada Umno dan tindakannya itu sangat melampau. "Kita minta supaya pihak berkuasa mengambil tindakan yang drastik terhadap kenyataan Tian Chua," katanya kepada pemberia selepas membuat laporan itu. Sementara itu, Pegawai Kebajikan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kota Setar Mohd Fauzi Sharif turut membuat laporan polis yang sama.

Di KUALA LUMPUR, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dakwaan Tian Chua itu adalah keterlaluan dan tidak menunjukkan sikap bersama demi kepentingan negara.

Beliau berkata sikap itu juga menunjukkan pemimpin PKR itu tidak mempunyau perasaan taat dan patriotik terhadap negara. "Mereka yang mempersendakan dan mendakwa ia sandiwara Umno adalah menderhaka kepada negara," kata Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Pengerusi BN Parlimen Batu Datuk Yahaya Mat Ghani turut membidas sikap Tian Chua yang dianggap perlu dihukum oleh pengundi pada PRU ke-13 nanti.

Beliau berharap pengundi di Parlimen Batu menolak Tian Chua kerana tidak mempunyai sikap patriotik dan memperlekehkan soal keselamatan negara.

Dalam kejadian pencerobohan kumpulan bersenjata berasingan di Sabah, tujuh anggota polis terkorban di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan di Semporna sejak kelmarin.

Di KOTA BAHARU, badan bukan kerajaan (NGO) Minda Pondok hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Tian Chua di Balai Polis Binjai, Kubang Kerian di sini. Wakil Minda Pondok, Mohd Shamsul Mohd Yusuf al-Hafiz, yang diiringi kira-kira 30 orang, berkata laporan itu dibuat supaya pihak polis dapat menyiasat dan mengambil tindakan tegas berhubung kenyataan yang disifatkannya sebagai fitnah dan hasutan yang boleh menggugat keselamatan negara. "Kami merasa sedih dan dukacita kerana seorang anggota Parlimen yang diangkat sebagai pemimpin pada pilihan raya umum lepas, bukan sahaja mengguris perasaan keluarga anggota keselamatan yang terbunuh, malah rakyat juga," katanya.

Di BESUT, TERENGGANU, Pegerakan Wanita Umno Bahagian Besut yang diketuai Engku Naemah Engku Taib telah membuat laporan polis terhadap Tian Chua di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja di sini.

Beliau berharap tindakan tegas diambil terhadap Tian Chua kerana telah menghina Umno dan anggota keselamatan termasuk keluarga anggota keselamatan yang terbabit dalam operasi mempertahankan kedaulatan negara.

Artikel Lain