suria

PM Mahu Pastikan Asas Politiknya Terus Kuat Di Pekan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu memastikan asas politiknya terus kuat dan kukuh sebagai ahli Parlimen Pekan bagi menjamin kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Beliau yakin dapat memperkukuhkan lagi asas tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang dengan memperoleh undi majoriti lebih besar berbanding keputusan pilihan raya umum 2008.

"Sebagai seorang ahli politik, saya nak pastikan akar saya kuat. Kalau keputusan pilihan raya 2008 dijadikan kayu pengukur, saya telah memperoleh majoriti terbesar BN sebanyak 26,464 undi.

"Mudah-mudahan dengan berkat sokongan, saya boleh dapat majoriti undi yang tak kurang daripada rekod ini...kalau boleh lebih banyak daripada itu,"katanya ketika berucap pada majlis Himpunan Anak-anak Pekan di Perantauan yang dihadiri lebih 2,000 orang, di kediaman rasmi Perdana Menteri di Laman Seri, Seri Perdana, di sini, Sabtu.

Turut hadir bersama ialah isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib berkata sebagai ahli Parlimen, beliau telah dan sedang membawa pelbagai pembangunan dan kemudahan untuk rakyat di Pekan termasuk kewujudan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Kuala Pahang, pembinaan sebuah hotel bertaraf empat bintang dan kolej automatif di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Selain itu, katanya kerajaan juga sedang membina rumah bersepadu berkonsepkan Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang dapat disiapkan dalam masa dua setengah hari untuk keluarga berpendapatan rendah.

Beliau berkata walaupun beliau sibuk dengan pelbagai urusan negara, namun tetap memberi fokus kepada pembangunan Pekan secara khusus.

"Kepala saya... sekejap fikir Pekan, sekejap fikir Lahad Datu, sekejap lagi fikir pasal Gaza... ini semua dalam pertimbangan dalam kepala seorang yang menggalas tanggungjawab sebagai ketua kerajaan.

"Namun saya berazam dengan izin Allah, akan lakukan yang terbaik demi untuk bangsa, agama dan negara.

"Saya tak lupa apa sahaja yang saya boleh lakukan untuk kita sama ada yang tempias-tempias ataupun projek-projek yang boleh saya lakukan...Insyallah saya akan lakukan," katanya.

Pada majlis itu, Najib turut melancarkan kempen "Moh! Balik Ngundi Weh" dan Selangkah Ke Menara Gading bagi warga Pekan yang menetap di Lembah Klang. -BERNAMA

Artikel Lain