suria

Laporan Akhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia Akan Diumum Dalam Masa Terdekat

KUALA LUMPUR: Laporan akhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 kini telah siap dan dijangka diumumkan dalam masa terdekat, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Abdul Ghafar berkata pelan tersebut adalah hasil kaji selidik kementerian bermula September 2011 sehingga Mac lepas ke atas 8,000 responden terdiri daripada guru-guru, ibu bapa, murid-murid serta orang awam di seluruh negara.

"Kaji selidik itu diadakan bagi memperbaiki sistem pendidikan negara sehingga tahun 2025 sebagai inisiatif memperkasakan dan mengantarabangsakan sistem pendidikan negara. "Laporan awal pelan tersebut telah diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kita telah mendapat maklum balas pelbagai pihak daripada laporan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) Sekolah-Sekolah Kuala Lumpur dan Selangor di sini, Sabtu.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan Bahagian Hal Ehwal Korporat Kumpulan Petronas, Datuk Mohammad Medan Abdullah dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran, Datuk Mazlan Mohamad. Abdul Ghafar berkata kaji selidik tersebut perlu bagi memastikan penyediaan kurikulum pendidikan terbaik dalam usaha membangunkan modal insan pelajar yang bukan hanya cemerlang akademik tetapi berjaya ditransformasikan nilai sahsiah mereka.

"Ini membantu negara melahirkan modal insan yang lebih baik, sekaligus menjadikan Malaysia sebuah negara yang mampu bersaing di peringkat global," katanya.

Beliau berkata, pelan itu juga menyentuh pembabitan ibu bapa, masyarakat setempat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta dalam menghulurkan bantuan dari segi luahan idea serta pendapat bagi merealisasikan pelan tersebut.

Katanya, inisiatif untuk pembabitan pelbagai pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat ini penting dalam melahirkan modal insan yang berkualiti global melalui sekolah.

Perdana Menteri telah mengumumkan laporan awal PPPM 11 Sept lepas, dan pelan tiga fasa itu akan berlangsung selama 13 tahun bermula dari 2012 hingga 2025 dan semakan semula juga akan dibuat lima tahun sekali mulai 2015 sementara laporan tahunan akan dikeluarkan bagi memantau perkembangan yang dicapai.

Sementara itu, Mohamad Medan berkata program PSIP yang dijalankan Petronas sejak 2002 itu merupakan satu daripada program tanggungjawab sosial korporatnya bertujuan menyokong visi bidang pendidikan negara.

Katanya, sehingga Februari, kira-kira 3,000 murid Tahun Empat hingga Enam dari 52 sekolah seluruh negara dengan bantuan 400 guru serta 700 fasilitator sukarelawan Petronas terlibat dalam program ini.

PSIP memberi penekanan kepada tiga subjek teras iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta satu sesi bukan akademik 'Fun Learning Session' yang diselia oleh fasilitator sukarelawan Petronas.

Petronas juga dalam proses memperluaskan PSIP ke beberapa sekolah di Pengerang, Johor dan Sabah bermula tahun ini. -BERNAMA

Artikel Lain