suria

Lahad Datu: Jangan Buat Tuduhan Melulu - Zahid Hamidi

PORT DICKSON: Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu mengingatkan pihak tertentu supaya tidak melemparkan tuduhan melulu atau mempolitikkan insiden Lahad Datu dan peranan yang dimainkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di situ.

Katanya, kejadian itu adalah berkaitan dengan soal keselamatan negara di mana ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bekerjasama erat menyelesaikan masalah itu.

"Pihak ATM tidak lepas tangan, sebenarnya kita berada di sana dengan aset yang sepatutnya dan Panglima Angkatan Tentera (Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin), semalam berada di sana dan kembali ke sini dan kemudian hari ini kembali semula ke sana selepas insiden itu.

"ATM memang memberi kerjasama seerat mungkin dengan PDRM dan kita harap isu ini tidak dipolitikkan kerana ia soal keselamatan negara dan kita yakin dengan peranan pihak polis di dalam mengendalikan insiden yang berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perbarisan perarakan anggota dan aset tentera darat sempena sambutan ulang tahun ke-80 Tentera Darat di Kem Si Rusa di sini, Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai insiden itu, Ahmad Zahid memberi jaminan terutama kepada rakyat di kawasan tersebut agar tidak bimbang dengan insiden itu atau ancaman lain kerana ATM sentiasa bersiap sedia menjaga kawasan itu.

Katanya, rakyat khususnya di kawasan berkenaan perlu menaruh kepercayaan kepada ATM yang mempunyai Markas Angkatan Bersama di seluruh pulau-pulau di Sabah untuk melaksanakan tugas melindungi mereka.

"Jangan ada kerisauan terhadap kemampuan kita ATM dan beri kepercayaan kepada ATM dan kita akan melakukan yang terbaik bersama-sama dengan pihak polis," katanya.

Turut hadir ke majlis itu Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Dr Ismail Ahmad. BERNAMA

Artikel Lain