suria

Kerajaan Malaysia Amat Dukacita Insiden Tembakan di Lahad Datu - Anifah

KOTA KINABALU: Kerajaan Malaysia amat dukacita dan kesal dengan insiden pertempuran antara kumpulan penceroboh bersenjata dan pasukan keselamatan negara yang menyebabkan dua anggota komando polis VAT 69 dan 12 anggota kumpulan itu terbunuh di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata kerajaan Malaysia begitu bersabar dan telah berusaha sebaik mungkin bagi mengelak pertumpahan darah apabila kumpulan penceroboh yang didakwa sebagai Askar Diraja Kesultanan Sulu memasuki perairan negara pada 9 Februari lalu.

"Kita kesal dan dukacita kerana sepatutnya ia (rundingan) sudah diselesaikan lebih awal. Kita telah memberi jaminan kepada mereka supaya balik ke negara asal mereka secara aman.

"Apa yang saya kesal ialah selepas nyawa terkorban di kedua-dua belah pihak, barulah mereka meminta jaminan daripada kita (untuk pulang ke negara asal dengan selamat)," katanya kepada pemberita selepas melawat Jambatan Limadang, Membakut, Kimanis, kira-kira 45 km dari sini, Sabtu.

Anifah, yang juga anggota Parlimen Kimanis, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Sultan Sulu, Sultan Jamalul Kiram III Agbimuddin Kiram yang bersetuju untuk memanggil pulang pengikutnya jika kerajaan Malaysia dan Filipina memberi jaminan keselamatan serta menjaga kebajikan kumpulan penceroboh berkenaan. Bagaimanapun, Anifah berkata keputusan berhubung permintaan Sultan Sulu itu akan diputuskan oleh kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Dalam Negeri.

"Kementerian saya tidak terlibat cuma peranan saya apa sahaja permintaan kerajaan Filipina, saya sampaikan kepada pihak yang berkenaan (di negara ini)," katanya.

Mengenai laporan tidak tetap atau spekulasi berhubung insiden pencerobohan itu, beliau berkata ini adalah sesuatu yang sukar dielak kerana 'orang kita gemar membuat spekulasi'.

"Sebab itu saya enggan memberi sebarang kenyataan tentang apa yang berlaku di Lahad Datu kerana saya khuatir maklumat itu tidak tepat dan kenyataan hanya dibuat oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain