suria

Hapus Atau Turun Cukai Belum Tentu Harga Kereta Turun - Mukhriz

ALOR SETAR: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata penurunan dan pemansuhan cukai kenderaan belum tentu menurunkan harga kereta.

Sebagai contoh, katanya kereta hibrid tidak dikenakan cukai, namun harganya tidak pula diturunkan kerana pengeluar juga perlu mengambil untung.

Menurutnya kereta hibrid di Amerika Syarikat dikenakan cukai, namun harganya lebih murah kerana pasaran negara itu besar, berbanding Malaysia.

"Harga kenderaan sebenarnya boleh turun tanpa mengurangkan cukai. Jadi, kerajaan berunding dengan syarikat pengeluar kenderaan kerana tahu mereka ada kemampuan menurunkan harga.

"Sekarang ini pun ada perkembangan positif kerana ada syarikat menurunkan harga kereta sehingga RM17,000," katanya ketika diminta mengulas mengenai pemansuhan cukai kenderaan secara berperingkat bermula tahun ini.

Mukhriz ditemui selepas merasmikan Himpunan Komuniti Usahawan TEKUN negeri Kedah dan Perlis di sini. Turut hadir pengerusi TEKUN Datuk Suraya Yaacob dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) TEKUN, Adam Abdul Ghani.

Mukhriz yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, berkata kerajaan mengambil kira pelbagai faktor dalam usaha menurunkan harga kenderaan, termasuk kesan ekonomi ke atas negara, syarikat pengeluar, pengusaha industri kenderaan terpakai serta kepentingan pengguna.

"Kita kena imbangi semua ini. Jika rendahkan harga kereta, syarikat tidak untung dan pelabur pula tidak buka kilang di Malaysia. Kesannya ialah ekonomi kita. "Yang kita tekankan ialah turunkan cukai tanpa mengurangkan kutipan. Cadangan dalam manifesto pembangkang supaya cukai dihapuskan boleh menyebabkan kerajaan kehilangan hasil dan kenderaan terlalu banyak di jalan raya," katanya.

Beliau berkata tidak semua kereta di Malaysia mahal kerana ada yang murah jika dibandingkan dengan harga kenderaan di Indonesia, Filipina dan Thailand.

Katanya andaian harga kenderaan di Malaysia mahal ditimbulkan pembangkang bagi memburukkan kerajaan, kononnya kerajaan mengambil hasil cukai terlalu tinggi. "Kepentingan negara perlu dipelihara. Nak murah import saja dari negara Cina, tapi apa akan berlaku pada industri kita," katanya menambah, terlalu bergantung kepada import menimbulkan bermacam kesan tidak baik untuk perkembangan ekonomi negara.

Mengenai TEKUN, beliau berkata agensi itu memberi pinjaman kepada usahawan dengan niat membantu rakyat keluar dari kepompong kemiskinan tanpa mengambil kira latar belakang atau fahaman politik.

Katanya dari 1998 hingga Januari tahun ini, agensi itu mengeluarkan pinjaman berjumlah RM2.46 bilion kepada 241,350 orang, sementara pembayaran balik melebihi 80 peratus.

Di Kedah, 25,205 usahawa menerima pinjaman berjumlah RM240.74 juta manakala sebanyak RM39.528 juta untuk 4,229 pemohon di Perlis, kata Mukhriz.

Pada majlis itu beliau menyampaikan cek bernilai RM1.48 juta kepada 266 peminjam di Kedah, manakala 216 orang di Perlis menerima sejumlah RM1.4 juta tahun ini. -BERNAMA

Artikel Lain