suria

Hajat Mat Sabu Tanding Di Kerusi Selamat Bakal Jadi Kenyataan

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

PETALING JAYA: Hajat Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu untuk disenaraikan sebagai calon di kerusi selamat bakal menjadi kenyataan apabila beliau dipilih untuk bertanding di kubu kuat parti itu di Pendang.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dilaporkan telah mengintai kerusi selamat sama ada di Kedah atau Kelantan.

Menurut sumber, Mat Sabtu tidak berminat untuk bertanding di Pulau Pinang walaupun berasal dari negeri itu kerana PAS tidak mempunyai pengaruh kuat dalam negeri yang diperintah DAP itu.

Yang Dipertua PAS Pendang, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul mengesahkan bahawa mereka telah mencalonkan Mat Sabu dan dua yang lain untuk bertanding di kerusi parlimen Pendang.

"Kami telah beri tiga nama dan ia bergantung kepada kepimpinan PAS pusat dan negeri untuk membuat kata putus," katanya.

Pendang dianggap sebagai kerusi selamat kerana mempunyai jumlah ahli PAS yang ramai di negara ini.

"Kami mempunyai 15,000 ahli dan masih mengekalkan rekod di kawasan itu dengan bilangan ahli PAS yang tertinggi. Namun, ia tidak semestinya menjamin kemenangan kami," katanya.

Mat Sabu telah menyatakan kesediaan untuk bertanding di mana-mana atas permintaan parti.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi tidak berminat untuk menjadi 'kambing korban' di Jerlun.

Beliau mengakui sukar untuk bertanding di kerusi yang kini dipegang Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir.

Phahrolrazi dilaporkan diketepikan Datuk Seri Azizan kerana didakwa cuba menggulingkan Menteri Besar itu.

Beliau dicalonkan untuk bertanding di kerusi Parlimen itu oleh PAS Negeri.

Phahrolrazi memilih untuk berdiam diri mengenai isu ini.

“Mari kita dengar apa yang orang lain katakan terlebih dahulu. Saya akan beri komen kemudian," kata Phahrolrazi.

Artikel Lain