suria

Phahrolrazi Serah Nasib Kepada PAS Pusat

ALOR SETAR: Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi (gambar) menyerahkan nasib dan masa depan politik beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kepada kepimpinan PAS Pusat.

"Ia akan menjadi saingan sengit sekiranya saya bertanding di kerusi Parlimen Jerlun, tetapi saya menyerahkan segalanya kepada parti untuk membuat keputusan," katanya pada Khamis.

Beliau mengulas laporan The Star pada Khamis bahawa Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak mengetepikan beliau dan dua yang lain dalam senarai calon untuk bertanding pada PRU-13.

Phahrolrazi didakwa menjadi ketua kumpulan pemberontak yang cuba menggulingkan Azizan.

Phahrolrazi telah dipindahkan dari kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundor ke Jerlun manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dr Ismail Salleh dan Dr Hamdan Mohamed Khalid digugurkan sebagai calon di kawasan masing-masing di Alor Mengkudu dan Tanjung Dawai.

Jerlun kini dipegang oleh Datuk Mukhriz Mahathir.

Phahrolrazi mendakwa Azizan tidak mempunyai kata putus mengenai senarai calon itu.

Ketika dihubungi, Azizan menafikan dakwaan bahawa senarai tersebut dirancang untuk menyingkirkan beberapa pemberontak.

"Susunan senarai calon itu adalah semata-mata untuk strategi. Beberapa nama telah dihantar ke setiap bahagian pilihan raya dan calon berpotensi dinilai dari semasa ke semasa," katanya.

Ketua Unit Peti Undi (UPU) Pas Megat Dewa, Asri Ahmad yang mengetuai beberapa siri protes terhadap Azizan baru-baru ini menyifatkan Menteri Besar itu sebagai autokrat.

"Azizan cuba untuk memusnahkan karier politik Phahrolrazi. Peringkat akar umbi membantah senarai nama tersebut tetapi desakan kami tidak diendahkan," katanya.

Asri mendakwa Azizan terlebih dahulu meletakkan kepentingan peribadi beliau dengan meletakkan penyokongnya, termasuk setiausaha politiknya Muhammad Sanusi Md Noor, di kerusi yang selamat.

Naib Presiden MCA, Datuk Chor Chee Heung berkata krisis terbaru yang melanda PAS Kedah membuktikan kerajaan negeri itu gagal memenuhi harapan rakyat.

"Rakyat tidak patut memberi mandat kepada parti yang dibelenggu persengketaan politik dalaman di kalangan pemimpin.

"Ia akan mencetuskan keraguan mengenai keupayaan mereka untuk mentadbir Kedah dengan baik sekiranya mereka berkuasa," kata Chor yang juga Ahli Parlimen Alor Setar.

Sementara itu, kira-kira 300 kakitangan dan pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) mengadakan demonstrasi menentang pengurusan kolej tersebut dan Azizan.

Kumpulan tersebut dilihat melaungkan slogan kira-kira 30 minit dalam keadaan hujan pada Khamis.

Artikel Lain