suria

Malaysia, Thai Tandatangani Perjanjian Lintas Batas

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Lintas Batas, di Putrajaya, Khamis. Malaysia diwakili oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (duduk kanan) manakala Thailand diwakili oleh Menteri Dalam Negeri, Charupong Ruangsuwan. -fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Malaysia dan Thailand pada Khamis menandatangani Perjanjian Lintas Batas untuk menggantikan 'Traffic Across the Boundary Between the Malay States and Thailand' yang ditandatangani di Bangkok pada 24 Jun 1940.

Perjanjian itu ditandatangani sempena lawatan Perdana Menteri Thailand Yingluck Shinawatra ke negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata beberapa elemen telah diperbaharui dalam perjanjian baharu itu bagi meningkatkan keselamatan dan kemudahan pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara.

"Perjanjian Lintas Batas itu menjelaskan isu berkenaan pengeluaran pas sempadan di antara kedua-dua negara dan negeri bersempadan sahaja layak menggunakan pas sempadan itu," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.

Di Malaysia, pintu-pintu masuk yang dipersetujui ialah Kedah di Bukit Kayu Hitam, Kota Putra, Durian Burung, Kuah Langkawi, Telok Ewa Langkawi, Kuala Kedah, Jetty Harbour Park Langkawi; Kelantan (Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, Bukit Bunga); Perak (Bukit Berapit); dan Perlis (Padang Besar, Wang Kelian dan Kuala Perlis).

Sementara di Thailand ialah Pusat Pemeriksaan Imigresen Tamalung Seaport dan Wangprachan di Satun; Pusat Pemeriksaan Imigresen Sadoa, Padang Besar, Songkhla Seaport dan Ban Brakop di Songkhla; Pusat Pemeriksaan Imigresen Betong di Yala; Pusat Pemeriksaan Imigresen Su-ngai Golok, Takbai dan Ban Bukheta di Narathiwat; dan Pusat Pemeriksaan Imigresen Pattani Seaport di Pattani.

Hishammuddin berkata pas sempadan yang dikeluarkan sah digunakan untuk tempoh setahun dengan setiap kali kemasukan tidak melebihi 30 hari.

"Ia hanya dibenarkan untuk tujuan melawat saudara mara, pelancongan, sukan, latihan jangka pendek (tidak melebihi enam bulan), menghadiri seminar, mesyuarat dan persidangan, sidang akhbar atau membuat liputan serta tujuan-tujuan yang dipersetujui kedua-dua pihak," katanya.

Beliau berkata pas sempadan itu juga hanya dibenarkan untuk kegunaan di negeri-negeri yang dipersetujui, sekiranya hendak melangkau sempadan selain negeri ditetapkan, maka perlu menggunakan Pasport Antarabangsa negara masing-masing. - BERNAMA

Artikel Lain