suria

Malaysia Akan Bantu Dialog Proses Damai Di Selatan Thailand

PUTRAJAYA: Malaysia akan melakukan apa yang boleh untuk membantu Kumpulan Kerja Bersama, badan yang ditubuhkan untuk mengadakan dialog proses damai di sempadan wilayah-wilayah di selatan Thailand.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia berasa bangga bahawa kedua-dua pihak yang menandatangani Dokumen Konsensus Am, perjanjian untuk membuka laluan bagi dialog proses damai di wilayah berkenaan, bersetuju mempelawa Malaysia menjadi fasilitator untuk menggerakkan dialog itu.

Beliau berkata dialog akan diadakan dalam Kumpulan Kerja Bersama yang kerajaan Thailand bersetuju melaksanakannya di bawah pimpinan Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan Thailand Lt Jen Pharadorn Phatthanatabutr.

"Malaysia akan melantik, dalam waktu terdekat, seorang pegawai kanan kerajaan yang sesuai untuk bertindak sebagai fasilitator.

"Mari kita berharap dan berdoa supaya siri dialog yang akan bermula dalam masa dua minggu di Kuala Lumpur, akan membuahkan hasil yang diharapkan," kata Najib dalam sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatannya dari Thailand Yingluck Shinawatra di bangunan Perdana Putra di sini, Khamis.

Yingluck tiba di sini tengah hari ini untuk lawatan kerja ke Malaysia, sempena Konsultasi Tahunan Malaysia-Thailand kali ke-5.

Terdahulu di KUALA LUMPUR, kerajaan Thailand yang diwakili Pharadorn dan Badan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan pemisah Islam di selatan Thailand yang diwakili Ketua Pejabat Perhubungan BRN di Malaysia, Hassan Taib, menandatangani Dokumen Konsensus Am itu.

Menyifatkan perjanjian itu menunjukkan iltizam mereka untuk mencari penyelesaian bagi mencapai kedamaian berkekalan di selatan Thailand, Najib berkata Malaysia, dan juga masyarakat antarabangsa, berharap pemeteraian dokumen itu akan menandakan permulaan proses yang akan membawa keamanan hakiki di wilayah berkenaan.

Beliau berkata Malaysia yakin pewujudan keadaan aman di wilayah berkenaan akan membawa kemakmuran ke kawasan itu, termasuk di kawasan sempadan yang terletak di Malaysia.

Beliau menegaskan, selepas bertahun-tahun menderita, sudah tiba masanya untuk penduduk di wilayah berkenaan menjalani kehidupan lebih baik, dan sudah tiba masanya bagi kawasan itu dijadikan kawasan pertumbuhan, menjana pelbagai faedah sosio-ekonomi kepada kedua-dua belah pihak di sempadan Malaysia dan Thailand.

"Kami sedar banyak kerja menanti kami kerana banyak isu rumit perlu diselesaikan. Bagaimanapun saya yakin, dengan semangat muhibah dan keikhlasan daripada semua pihak, ia akan dapat dicapai dan momentum sebenar bagi keamanan akan diwujudkan," katanya.

Najib berkata usaha konkrit akan dilakukan untuk menggalakkan sinergi lebih baik antara koridor ekonomi dan pembangunan di sempadan.

Terdahulu, kedua-dua perdana menteri menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi Cadangan Pembangunan oleh Sektor Swasta dalam Kawasan Sempadan Bersama, sebelum menyaksikan dua lagi upacara pemeteraian MoU.

MoU bagi Kerjasama Dalam Bidang Belia dan Sukan ditandatangani oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Timbalan Perdana Menteri Thailand Chalerm Ubumrung, manakala perjanjian bagi Melintas Sempadan ditandatangani Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Dalam Negeri Thailand Charupong Ruangsuwan.

Sementara MoU bagi Sekretariat Majlis Perniagaan Malaysia-Thailand menyaksikan Pertukaran Dokumen antara Naib Presiden Kanan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) Max Say dan Pengerusi Persekutuan Industri Thai Payungsak Chartsutipol.

Najib berkata Malaysia dan Thailand akan mempermudahkan projek-projek pembangunan oleh sektor swasta di kawasan sempadan dalam industri seperti minyak dan gas, kuasa dan tenaga alternatif, getah dan kelapa sawit, industri berat dan pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana.

Mengenai perdagangan dan pelaburan, katanya angka yang dicatatkan, amat menggalakkan, dengan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara terus mencatatkan trend meningkat sejak 2000, dengan angka pada 2012 menunjukkan USD24 bilion. - BERNAMA

Artikel Lain