suria

LHDN Yakin Capai Sasaran Kutipan Cukai RM130 Bilion Tahun Ini

CYBERJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yakin dapat mencapai sasaran kutipan cukai sebanyak RM130 bilion yang ditetapkan kerajaan untuk tahun ini berdasarkan kedudukan ekonomi negara sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata kedudukan ekonomi yang baik membolehkan pendapatan rakyat bertambah, sekali gus meningkatkan kutipan cukai.

"Saya tak nampak mustahilnya untuk kita memungut jumlah itu, insya-Allah mungkin lebih," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-17 dan Pelancaran Hasil 4U, di sini pada Jumaat.

Majlis dirasmikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.

Mengulas lanjut, Mohd Shukor berkata LHDN akan menyusun beberapa strategi termasuk mengenal pasti industri yang didapati berlaku ketirisan cukai bagi memastikan sasaran kutipan itu dicapai.

Beliau berkata ketirisan boleh berlaku kerana pelbagai sebab termasuk kurangnya kesedaran dalam kalangan pembayar cukai, salah tafsiran terhadap undang-undang berkaitan dan juga mereka yang sengaja melarikan diri daripada membayar cukai.

"Tak semua ekonomi kita berkembang serentak pada kadar yang sama, misalnya sektor pembuatan, dari segi volum dia besar tapi dari segi sumbangan mungkin tak begitu banyak sebab ia melibatkan 'mass production'. Jadi kita nak tengok dan pastikan.

"Kita juga membuat perbandingan dengan pengalaman negara-negara luar sebab kita juga berhadapan dengan 'cross border transaction'. Jadi kita nak tengok yang mana yang 'very critical' yang memberikan impak yang besar kepada kita," katanya.

Ditanya sama ada pelaksanaan gaji minimum memberi impak kepada kutipan hasil, Mohd Shukor berkata impak pelaksanaannya tidak secara langsung memandangkan kadar gaji minimum itu belum layak dikenakan cukai.

Bagaimanapun katanya, impak boleh dilihat dari segi cukai pendapatan syarikat yang mungkin bertambah kerana pendapatan bertambah, hasil peningkatan produktiviti pekerja yang lebih bersemangat untuk bekerja.

"Pelaksanaan gaji minimum juga memberi lebih kuasa berbelanja kepada pengguna yang akan menjurus kepada peningkatan perniagaan dan juga kutipan cukai oleh kerajaan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain