suria

Lahad Datu: PM Sahkan Dua Komando Terbunuh, Kesal Pertumpahan Darah

PEKAN: Perdana Menteri mengesahkan dua anggota keselamatan terbunuh dan tiga yang lain cedera dalam pertembungan antara pasukan keselamatan Malaysia dan kumpulan bersenjata di kampung Tanduo berhampiran Lahad Datu, Sabah.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kumpulan bersenjata Filipina telah keluar sejauh 1.5 kilometer dari kawasan berkurung mereka dan melepaskan tembakan kepada pasukan keselamatan Malaysia.

"Saya amat sedih atas kejadian itu kerana apa yang kita mahu untuk elakkan, iaitu pertumpahan darah, sebenarnya telah berlaku.

"Sekarang tempoh untuk mereka tinggalkan negara ini telah tamat.

"Saya telah memberi mandat penuh kepada komander bertugas, iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Zulkefli Mohd Zin untuk mengambil tindakan yang difikirkan perlu," katanya.

Sementara itu, di Lahad Datu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib memberitahu pemberita bahawa 12 lelaki bersenjata Sulu terbunuh dalam pertembungan antara anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan kumpulan bersenjata Sulu.

Bilangan yang cedera di kalangan kumpulan Sulu tidak diketahui.

Pada sidang media pada pukul 6 petang, Hamza berkata, insiden tembak-menembak bermula pada 9.59 pagi Jumaat dan selepas 30 minit kemudian lima anggota elit PGA bergerak untuk mengawal ketat sekitar kampung Tanduo di mana terdapat kira-kira 180 orang termasuk 30 lelaki bersenjata Sulu yang diketuai oleh Raja Muda Azzimudie Kiram yang menceroboh kawasan itu sejak 9 Februari.

“Anggota kami cedera apabila beberapa penceroboh menembak mereka, memaksa pihak kami untuk melepaskan tembakan," katanya sambil menambah bahawa pasukan keselamatan kini mengawal kawasan itu dalam radius 10 kilometer persegi.

Beliau berkata, polis berjaya merampas beberapa senjata milik kumpulan Sulu.

Artikel Lain