suria

Keperluan Elak Pertumpahan Darah Sudah Dilakukan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Pasukan keselamatan telah melakukan perkara yang perlu untuk mengelakkan pertumpahan darah berlaku di Lahad Datu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

"Mereka melakukan apa saja untuk memastikan insiden itu diselesaikan dengan cara terbaik di mana memberi masa untuk rundingan dan mengadakan diplomasi dengan kerajaan Filipina bagi mengelakkan pertumpahan darah. Kita sudah memberikan masa untuk menyelesaikan perkara ini, ada had kepada apa yang kita lakukan.

"Saya percaya sesiapa saja tidak harus menuduh pihak berkuasa tidak memberi ruang dan masa kepada mereka yang terlibat untuk menyelesaikan perkara itu secara aman tanpa sebarang pertumpahan darah," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pergerakan Belia Malaysia-Palestin ke ibu pejabat Jabatan Pertahanan Awam Malaysia di sini, Jumaat.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia tidak akan melanjutkan tarikh akhir kepada kumpulan bersenjata tersebut.

Menurut beliau, tarikh akhir untuk mereka berundur dan menyerah diri telah banyak kali dilanjutkan sebelum ini.

"Kerajaan Filipina sudah memberitahu bahawa apa yang mereka inginkan dari kumpulan tersebut adalah kembali ke Filipina. Apa yang penting sekarang adalah membiarkan polis melakukan operasi mereka," katanya.

Artikel Lain