suria

Ramai Pengikut Di Media Sosial Bukan Penentu Jumlah Pengundi

KUALA LUMPUR: Bilangan mereka yang mengikuti perkembangan Pakatan Rakyat menerusi media sosial bukanlah penentu kepada jumlah undi yang bakal diperolehi pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pengundi mungkin tidak mengikuti perkembangan BN di media sosial kerana BN merupakan parti yang memerintah dan mendapat liputan yang meluas di media arus perdana.

"Pembangkang mungkin mendahului BN dalam penggunaan media sosial tetapi tidak semestinya pengikut mereka akan mengundi mereka.

"Barangkali orang ramai gemar mengikuti mereka di media sosial. Namun rakyat pandai buat perbezaan mana yang baik...mana tak baik," katanya selepas melancarkan Skuad BN 'Kami Di Sini' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Khamis.

Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan PRU-13 akan menjadi ‘pilihan raya media sosial’ pertama di negara ini berikutan peningkatan penggunaannya sebagai mekanisme berkempen.

Najib berkata, walaupun ia bukan faktor terbesar dalam PRU-13, penggunaannya bakal meningkatkan irama perdebatan politik dan membawa lebih banyak suara ke dalamnya.

“Rakyat, terutama generasi muda yang membesar bersama internet meletakkan jangkaan tinggi pada semua bentuk kehidupan sekarang. Itulah sebabnya saya meminta semua Menteri Kabinet dan calon parti saya menggunakan media sosial.

“Bulan akan datang adalah waktu yang menarik untuk rakyat berminat dalam politik dan internet,” kata Najib.

Sementara itu, Tengku Adnan turut menyarankan orang ramai supaya mengikuti perkembangan kedua-dua parti itu di laman media sosial.

"Saya saran buka dua-dua. Saya tak kata jangan tak buka dia (pembangkang) punya. Kita ada macam-macam cuma anda semua suka tengok mereka punya.

"Mereka pandai bermain dengan emosi. Apabila perkara berkaitan emosi dibangkitkan, anda suka melihatnya untuk memuaskan emosi anda sendiri," katanya.

Artikel Lain