suria

Harga Kereta Baru Turun Sejak Tahun Lepas - Mustapa

PUTRAJAYA: Harga-harga kereta baharu sudah mula turun sebanyak RM2,200 hingga RM17,000 sejak tahun lepas, bergantung kepada modelnya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, pengurangan harga selanjutnya akan direalisasikan menerusi liberalisasi industri automotif hasil daripada pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

Mustapa berkata, duti import kereta dari Jepun dan Australia, yang kini masing-masing sebanyak 15 peratus dan 13.6 peratus, akan diturunkan secara beransur-ansur kepada sifar menjelang 2016.

Menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (AFTA), duti import ke atas kereta sudah dimansuhkan mulai 1 Januari, 2010.

Malaysia sedang berunding dengan Kesatuan Eropah, Turki dan Bangladesh untuk memeterai FTA, kata Mustapa pada sidang media di sini Khamis.

Mustapa berkata, kerajaan berunding dengan syarikat-syarikat kereta supaya mereka secara sukarela mengurangkan harga-harga kereta, dan berkata pengurangan harga kereta juga adalah hasil daripada tindakan yang diambil oleh kerajaan untuk menjadikan industri tersebut lebih cekap dan kompetitif.

Beliau bagaimanapun berkata, sebarang liberalisasi perlu dilakukan secara beransur-ansur bagi membolehkan industri itu menerima pakai dan menyesuaikannya dengan keadaan berikutan industri berkenaan yang mengaji 300,000 pekerja secara langsung dan tidak langsung, tidak terjejas teruk.

"Selain itu, pasaran kereta terpakai dan penjualan semula sahaja mempunyai 100,000 pekerja dan perolehan daripada cukai kereta membantu mensubsidi kos bahan api dan kemudahan lain," katanya.

Mustapa berkata, pembukaan industri automotif Malaysia secara berperingkat-peringkat akan menggalakkan pengeluar baharu dan sedia ada untuk mengguna Malaysia sebagai hab pengeluaran bagi rantau ini, terutama kereta cepat tenaga.

"Ekosistem industri kereta sangat besar dan penting, di banyak negara di dunia, dan oleh itu perhatian perlu diberikan," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan merancang mengurangkan duti eksais, Mustapa berkata, perbincangan "berjalan lancar" namun menekankan bahawa apa pun keputusannya, ia akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. - BERNAMA

Artikel Lain