suria

Pertuduhan Terhadap Bekas CEO Sime Darby Dalam Kes CBT Cacat - Peguam

KUALA LUMPUR: Pertuduhan terhadap bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Datuk Seri Ahmad Zubair Murshid adalah cacat kerana unsur penting kesalahan tidak dimasukkan, Mahkamah Tinggi diberitahu pada Selasa.

Peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata sehubungan itu, mahkamah hendaklah membatalkan pertuduhan atas alasan pendakwaan gagal menentukan elemen kesalahan dan ini merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Beliau berkata berdasarkan dokumen yang dibekalkan kepada pembelaan, mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah, tidak ada sedikitpun keterangan yang menunjukkan Ahmad Zubair menipu ketika menganggotai Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad.

"Pemohon (tertuduh) tidak boleh dipersalah atas kegagalan mengambil tindakan undang-undang bagi memperbetul penganugerahan tanah daripada kerajaan negeri Sarawak kerana beliau tidak sedar wujudnya kelulusan itu untuk Sime Darby," katanya.

Katanya, tarikh yang dinyatakan dalam pertuduhan iaitu kesalahan didakwa dilakukan semasa mesyuarat lembaga pengarah, namun sebenarnya merupakan majlis menandatangani perjanjian jual beli antara Sime Darby Plantation Berhad dan sebuah syarikat tempatan Vertical Drive.

"Pada tarikh itu, tidak ada mesyuarat atau perbincangan berhubung pengambilalihan kedua-dua syarikat. Oleh itu, pemohon tidak mungkin menipu lembaga pengarah," katanya.

Mohd Yusof berkata pertuduhan terhadap Ahmad Zubair hendaklah dibatalkan memandangkan ia cacat serta tidak berasas secara material, dan pemohon perlu dilepas tanpa dibebaskan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kevin Morais berhujah adalah pramatang bagi pemohon untuk menyatakan pada peringkat ini bahawa kehilangan unsur kritikal menyebabkan pertuduhan terhadapnya kurang penting.

"Pemohon perlu memberi kebebasan kepada responden (SPRM) untuk meneruskan proses perbicaraan dan bukan memohon untuk membatalkan pertuduhan di peringkat awal ini," katanya.

Beliau memaklumkan Hakim Kamardin Hashim bahawa mahkamah mempunyai kuasa untuk mengarahkan pendakwaan melakukan pindaan jika bersetuju dengan pemohon bahawa terdapat kecacatan dalam pertuduhan terhadapnya.

Kamardin menetapkan 15 Mac untuk memutuskan permohonan itu.

Pada Julai 2012, Ahmad Zubair, 56, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah dalam projek pembangunan membabitkan Hak Tanah Adat Bumuputera di Sarawak sehingga mengakibatkan Sime Darby kerugian lebih RM100 juta.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Ahmad Zubair juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan alternatif menipu lembaga pengarah syarikat itu berkaitan projek tersebut mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan di pejabat Sime Darby Bhd di Wisma Sime Darby, Jalan Raja Laut di sini antara 17 November 2008 dan 4 Disember 2009. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain