suria

Tengku Mahkota Pahang Titah Masjid Tidak Dijadikan Medan Politik

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang menasihatkan supaya institusi masjid tidak dijadikan sebagai medan politik bagi mana-mana parti di negara ini.

Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah ini perlu bagi menjaga kesucian masjid dan tidak mahu melihat rumah ibadat umat Islam itu menjadi punca kepada perpecahan ummah khususnya di kalangan kariah masjid.

"Seelok-eloknya kita dapat menyatukan (umat Islam) walaupun mempunyai perbezaan politik, pandangan, fikiran di luar masjid.

"Kita harap dapat jadikan masjid ini sebagai tempat yang boleh kita menyatukan umat Islam kita," titah baginda kepada pemberita selepas merasmikan Ijtimak Program Masjid Gemilang Pahang di sini, Selasa.

Titah baginda, langkah berkenaan adalah yang terbaik sekali sekiranya usaha itu dapat diterapkan di setiap masjid.

Baginda bertitah pihak bertanggungjawab juga perlu sentiasa memantau aktiviti yang dijalankan masjid di seluruh Pahang supaya tidak dijadikan sebagai medan untuk berpolitik.

"Ketiak ini kebanyakan rakyat jelata begitu ghairah membincangkan soal politik termasuk di masjid-masjid tetapi ia perlu ada batasan."

Terdahulu, dalam ucapan baginda, Tengku Mahkota Pahang mengingatkan supaya masjid tidak dijadikan sebagai medan untuk pertikaian yang boleh melemahkan perpaduan di kalangan umat Islam.

Baginda bertitah semua pihak perlu menjalin persefahaman dan bersatu padu dengan berpaksikan Al-Quran dan As Sunnah tanpa mengira perbezaan fahaman politik di dalam mengimarahkan masjid. BERNAMA

Artikel Lain