suria

PAS Tak Faham Erti Kebajikan - MCA

KUALA LUMPUR: MCA pada Selasa mempertikai hasrat PAS untuk menubuhkan negara berkebajikan sedangkan pemimpin PAS sendiri tidak memahami erti dan falsafah asas mengenai kebajikan.

"Bagaimana PAS boleh bercakap tentang negara berkebajikan sedangkan hakikatnya mereka sendiri tidak faham tentang erti kebajikan dan tidak menerima falsafah asas tentang kebajikan," kata pengerusi Biro Publisiti MCA Datuk Heng Seai Kie dalam kenyataannya.

Beliau berkata sebagai Menteri Besar Kelantan, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sepatutnya lebih bersikap penyayang dan mempunyai belas kasihan.

"Malangnya, komen kesat beliau telah melukakan perasaan dan maruah golongan miskin serta kurang bernasib baik, terutama semua penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Sekiranya Nik Aziz seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan mempunyai perasaan, saya menggesa beliau supaya memohon maaf kepada semua penerima bantuan kebajikan, terutama penerima BR1M, kerana penghinaan yang beliau lakukan," kata Heng.

Beliau berkata untuk julung kalinya dalam sejarah, pendapatan Malaysia pada 2012 mencapai RM200 bilion, berbanding tempoh sebelumnya iaitu antara RM150 bilion dan RM180 bilion.

"Dengan lebihan pendapatan sebanyak hampir RM20 bilion hingga RM50 bilion inilah, kerajaan Barisan Nasional (BN), sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, mengambil keputusan untuk berkongsinya dengan rakyat, terutama untuk membantu golongan miskin dan kurang bernasib baik. Sebab itulah, kita ada BR1M RM500," katanya.

Dalam ceramahnya di Kota Baharu, Nik Abdul Aziz dilaporkan membuat kritikan pedas tentang BR1M dan bantuan lain yang diberi kerajaan persekutuan dengan mengumpamakannya seperti menabur padi dan hampas kelapa kepada ayam dan lembu. BERNAMA

Artikel Lain