suria

MPHTJ Sasar Diiktiraf Bandar Rendah Karbon Pada 2014

MELAKA: Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menyasarkan memperoleh pengiktirafan sebagai bandar rendah karbon pada awal tahun depan.

Yang Dipertuanya Sapiah Haron berkata MPHTJ merupakan pihak berkuasa tempatan selain Majlis Bandaraya Miri yang terpilih sebagai perintis dalam program bandar rendah karbon oleh Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air dan Malaysian Green Technology Corporation.

Beliau berkata program itu merupakan pendekatan baharu untuk mengurangkan kadar pembebasan karbon dalam penggunaan tenaga seharian serta menjana kawasan perbandaran yang mempunyai kualiti alam sekitar yang baik dan mampan.

"Pihak MPHTJ telah melaksanakan fasa pertama dan kedua program ini melibatkan penyediaan taklimat projek serta penetapan tanda aras yang telah dijalankan bermula 1 Februari lepas," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program bandar rendah karbon di sini, Selasa.

Katanya fasa ketiga program melibatkan penilaian tanda aras akan bermula 1 Oktober depan sebelum pengumuman sebagai bandar rendah karbon yang dijangka pada 1 Januari 2014.

Sapiah berkata MPHTJ telah menggariskan tujuh sub kriteria yang bakal dilaksanakan dalam program tersebut termasuk kawasan hijau terbuka, bilangan pokok dan pengurusan pembuangan sisa pepejal kediaman.

Dalam perkembangan lain, MPHTJ akan mengeluarkan permit kepada peniaga yang hendak meletakkan peralatan perniagaan di kaki lima kedai mereka pada Mei depan.

Sapiah bagaimanapun berkata peniaga perlu mematuhi beberapa syarat tertentu seperti meletakkan peralatan mereka dalam jarak dua kaki dari pintu kedai.

"Bayaran sebanyak RM5 sehari akan dikenakan kepada peniaga yang diberi permit dan perkara ini telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka," katanya. BERNAMA

Artikel Lain