suria

Kegagalan Struktur Punca Tembok Di Ukay Perdana Runtuh

KUALA LUMPUR: Kegagalan struktur punca tembok penahan di sebuah tapak pembinaan rumah banglo di Taman Nusa Tropika, Ukay Perdana di sini, runtuh ketika hujan lebat pada Isnin.

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Rosliza Mohd berkata, pemaju projek perumahan itu diberi notis serta-merta untuk menghentikan kerja pembinaan rumah banglo tersebut.

"Aktiviti pembersihan masih dilakukan di kawasan tersebut dan kami minta pemaju tersebut untuk membaik pulih tembok berkenaan dengan kadar yang segera," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, Selasa.

Rosliza berkata pemaju berkenaan perlu mengemukakan laporan teknikal untuk mengetahui punca berlakunya kegagalan strukur tembok yang runtuh sepanjang kira-kira 50 meter itu.

"Kita minta pemaju tersebut untuk menyediakan sistem perparitan sementara bagi memastikan sistem saliran air permukaan di dalam tapak pembangunan itu tidak mendatangkan sebarang kacau ganggu di kawasan sekitar," katanya sambil menambah runtuhan ini merupakan kali pertama di kawasan tersebut.

Kejadian pukul 3 petang itu bagaimanapun tidak menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya di kawasan tersebut mahupun pekerja binaan banglo terbabit.

Artikel Lain