suria

Guna Pakai Sistem Upah Galak Pekerja Lebih Produktif - Subramaniam

KUALA LUMPUR: Majikan dan pekerja digalak untuk menerima pakai Sistem Upah yang Dikaitkan Dengan Produktiviti (PLWS) bagi meningkatkan produktiviti, mengawal kos dan meningkatkan daya saing negara.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata penggunaan pengukuran produktiviti atau prestasi yang dihasilkan pekerja dalam pemberian upah dapat menggalakkan pekerja menjadi lebih produktif dan cemerlang.

"Pelaksanaan PLWS penuh dan mapan dapat memberi kesan positif dan mewujudkan keharmonian perusahaan serta meningkatkan kepuasan bekerja apabila upah yang diperoleh selaras dengan peningkatan produktiviti dan prestasi," katanya ketika merasmikan Simposium Kebangsaan PLWS di sini, Selasa.

PLWS diperkenal pada 1996, merupakan satu sistem yang mewujudkan hubungan di antara upah dan produktiviti, bagi memastikan peningkatan upah akan diimbangi peningkatan produktiviti dan daya saing firma.

Subramaniam berkata amalan PLWS di pelbagai sektor yang berdaya maju adalah penting dan menjadi strategi utama dalam usaha negara ke arah memperluas sumber pertumbuhan dan mengekalkan momentumnya seperti terkandung dalam agenda pembangunan negara.

"Oleh itu, majikan perlu menumpukan kepada cara-cara meningkatkan produktiviti antaranya menggalakkan pelaburan dalam modal dan mengurangkan pergantungan tenaga buruh seperti di negara maju (Kanada dan Switzerland).

"Bagaimanapun, kos permulaan agak besar. Tetapi bagi jangka masa panjang, majikan boleh meningkatkan produktiviti pada kos yang lebih rendah. Oleh itu, kita boleh mengurangkan jumlah pekerja, dan menggaji pekerja yang lebih berpengetahuan dan mempunyai kemahiran," katanya.

Setakat ini 74,948 syarikat melaksanakan PLWS dan kira-kira 3.0 juta pekerja menikmati faedah pelaksanaan PLWS di negara ini, katanya.

Berhubung isu gaji minimum, Subramaniam berkata: "Perbincangan dengan syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) masih berjalan. Kita bekerja bersama-sama untuk mengenal pasti masalah dan membantu mereka kerana mereka (IKS) memerlukan lebih masa untuk menstruktur semula perubahan gaji.

Beliau juga menafikan dasar gaji minimum mungkin tidak dilaksanakan, kerana dasar itu masih utuh. BERNAMA

Artikel Lain