suria

Bekas Pelatih Puspen Ditahan Miliki Heroin Seberat 944 Gram

TEMERLOH: Polis merampas dadah seberat 944.20 gram daripada seorang bekas pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) yang terlibat dalam satu kemalangan di KM 100.7 Lebuhraya Pantai Timur Kuala Lumpur-Lanchang pada 8 pagi Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Abdul Aziz Salleh berkata dadah jenis heroin bernilai RM15,000 dijumpai dalam sebuah beg galas berwarna hitam yang dimiliki lelaki tersebut dan merampas wang tunai RM2,190 dipercayai hasil jualan dadah.

"Lelaki berumur 31 tahun itu kini sedang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah akibat patah tangan kanan, selain luka di bahagian kepala dan badan akibat kemalangan tersebut.

"Berasal dari Felda Mayam, Triang, dia turut dikenali dengan panggilan 'Lalang' serta mempunyai lima rekod kesalahan lampau membabitkan dadah dan jenayah," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Abdul Aziz berkata hasil pemeriksaan air kencing, lelaki terbabit positif dadah dan dia kini ditahan polis dan disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952. BERNAMA

Artikel Lain