suria

Lahad Datu: Pencerobohan Diharap Berakhir Dalam 72 Jam

TANJUNG LABIAN (LAHAD DATU): Pencerobohan kumpulan bersenjata kesultanan Sulu di Kampung Tanduo kini memasuki minggu ke tiga dan dijangkakan drama pencerobohan tersebut bakal berakhir dalam tempoh 72 jam.

Anggota keselamatan Malaysia yang mengawal ketat kawasan berkenaan kini berada pada jarak kira-kira 500 meter dari Kampung Tanduo iaitu lokasi kumpulan itu berkumpul sejak 9 Februari lalu.

Sebuah kapal Filipina dijangka tiba kira-kira tengah hari Isnin bagi membantu memindahkan orang awam termasuk lima wanita yang berada dalam kumpulan berjumlah kira-kira 180 orang.

Dipercayai juga pemimpin kumpulan berkenaan, Raja Muda Azzimudie Kiram juga sedang bersiap sedia untuk meninggalkan kampung itu.

Sebelum ini dilaporkan bahawa kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan untuk membawa pulang kumpulan berkenaan.

Kapal yang bernombor AT296, belayar dari Bongao, Tawi-Tawi ke perkampungan Tanduo di Lahad Datu dan berlabuh di tepi pantai sementara rundingan dengan kumpulan itu berlangsung Ahad malam.

Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) Filipina dalam satu kenyataan berkata pemberitahuan mengenai penghantaran kapal itu telah disampaikan kepada Kedutaan Malaysia di Manila, Sabtu.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Albert F. del Rosario dalam satu kenyataan menggesa seluruh kumpulan itu agar pulang ke rumah mereka dan keluarga, "sekalipun pada masa yang sama kami sedang berusaha menyelesaikan isu-isu utama yang mereka timbulkan".

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain