suria

Kanak-Kanak 15 Bulan Disyaki Didera Pembantu Rumah Indonesia

KOTA BAHARU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 15 bulan disyaki didera pembantu rumah rakyat Indonesia di sebuah rumah di Jalan Bayam di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata ibu bapa kanak-kanak itu mengesyaki anak mereka didera apabila melihat beberapa kesan lebam di badan anak mereka baru-baru ini.

Pasangan suami isteri itu yang curiga apabila pembantu rumah mereka mendakwa ia disebabkan terkena bucu meja ketika bermain, telah memasang kamera video digital untuk merakam salah laku pembantu rumah terbabit dalam bilik wanita itu, katanya.

Bercakap kepada pemberita di sini, Ahad, Azham berkata hasil rakaman itu, pasangan suami isteri berkenaan mendapati pembantu rumah mereka yang sedang menjahit manik di sehelai pakaian, mencubit dan mengkasari anak perempuan mereka yang sedang merengek.

Pasangan suami isteri berusia 29 dan 26 tahun itu mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia dua tahun.

Pasangan suami isteri itu membuat laporan polis di Balai Polis Kota Baharu semalam, dan polis menahan pembantu rumah itu pada hari yang sama.

Dia kini direman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes itu, katanya.

Azham berkata pembantu rumah Indonesia berusia 41 tahun itu telah bekerja dengan pasangan berkenaan sejak 2009 dan diambil melalui ejen yang sah.

Kontrak kerja wanita itu yang sebelum ini telah tamat, disambung kerana dia dikatakan rajin melakukan kerja rumah dan kontrak itu akan tamat Oktober ini, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain