suria

George Town Sebagai Antara Lapan Tempat Terbaik Untuk Pesara

NEW YORK: George Town, Pulau Pinang tersenarai sebagai antara lapan tempat terbaik di dunia untuk mengisi usia persaraan di luar negara.

Pemilihan itu juga menjadikan Malaysia satu-satunya negara Asia yang termasuk dalam senarai berkenaan, selain Medellin (Colombia), Dubrovnik (Croatia), Salinas (Ecuador), Bilbao (Sepanyol), Coronado (Panama), Galway (Ireland) dan Tlaxcala (Mexico).

Pemilihan itu dibuat Kiplinger, pakar kewangan peribadi dan ramalan perniagaan, yang turut menyediakan khidmat nasihat tentang persaraan, percukaian, pelaburan dan hartanah.

Kiplinger, yang mengendalikan penerbitan secara dalam talian, dalam keluaran terbaharunya berkata George Town, dengan kira-kira 740,200 penduduk, beriklim panas dan lembap.

Antara faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi daya tarikan kepada pesara ialah negara itu menyediakan perkhidmatan perubatan dan pergigian yang berkualiti pada kos berpatutan.

"Orang luar sering berkunjung ke Malaysia untuk mendapatkan perkhidmatan perubatan dan pergigian yang berkualiti. Terdapat beberapa hospital dan klinik di sekitar George Town," kata laporan itu.

Selain itu, Malaysia diletakkan di tangga ketiga selepas Thailand dan Filipina dalam Indeks Persaraan Global sebagai negara yang mempunyai kos sara hidup paling rendah.

Hakikat yang mungkin memikat hati pesara dari Amerika untuk berhijrah ke Malaysia ialah "sepasang suami isteri Amerika boleh hidup selesa dengan pendapatan hanya $1,500 sebulan!"

Bagaimanapun, perkara yang mungkin juga menjadi tarikan utama George Town dan secara umumnya Malaysia kepada warga asing ialah ia mempunyai peninggalan penjajah British.

Dalam tempoh beberapa dekad lepas, kata Kiplinger, 19,488 orang asing, termasuk 815 warga Amerika Utara "mengambil peluang daripada program 'Malaysia My Second Home', yang menawarkan insentif persaraan seperti status pemastautin yang lama dan pengecualian cukai terhadap import dan pembelian kenderaan.

Kiplinger juga tidak ketinggalan menyebut tentang kaveat.

"Pemohon perlu memenuhi syarat kewangan yang ketat. Bagaimanapun, George Town, ibu negeri Pulau Pinang, memiliki keindahan yang sugguh mempesona dan maju. Diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco, bandar raya tertua Malaysia ini juga terkenal dengan ciri sejarah, makanan lazat serta seni bina menarik.

"Walaupun kebanyakan penduduknya terdiri daripada kaum Cina, bahasa Inggeris digunakan dengan meluas kerana mempunyai hubungan sejarah dengan Britain," kata laporan itu.

Untuk menyediakan laporan tentang tempat bersara di luar negara itu, Kiplinger mendapatkan pandangan tiga pakar - Betsy Burlingame dari ExpatExchange.com, Kathleen Peddicord dari Liveandinvestoverseas.com dan Jennifer Stevens dari InternationalLiving.com. - BERNAMA

Artikel Lain