suria

Dadah: Bapa Guna Parang Elak Anak Bertindak Agresif

BESUT: Seorang bapa terpaksa melibas anaknya dengan parang setelah anaknya menendang mangsa kerana gagal mendapatkan wang untuk membeli dadah di Kampung Bukit Tempurung, dekat Jerteh di sini awal pagi Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noorzainy Mohd Noor berkata si bapa yang berusia 57 tahun terpaksa melepaskan satu tetakan yang mencederakan tangan kiri anaknya bagi menghalang suspek bertindak agresif.

"Sebelum kejadian itu, kira-kira 4.50 pagi, suspek yang berusia 29 tahun mengejutkan ibunya dan meminta wang tetapi gagal, kemudian dia yang merupakan anak sulung mengejutkan bapanya pula untuk meminta wang hingga menyebabkan bapanya berang dan memarahinya.

"Pertengkaran itu menyebabkan suspek hilang pertimbangan dan telah menendang ke arah perut bapanya hingga menyebabkan orang tua itu terjatuh sebelum si ayah bertindak mengambil parang melibas ke arah anaknya bagi mempertahankan diri," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Katanya suspek kemudiannya berlari keluar dan kembali semula ke rumah bapanya itu dengan membawa sebilah parang untuk mencederakan bapanya tetapi gagal apabila mereka sempat mengunci pintu rumah menghalang suspek bertindak lebih agresif.

Suspek melarikan diri selepas bapanya menghubungi polis dan turut dibantu beberapa penduduk kampung, katanya.

Katanya bapa saudara suspek yang tinggal berhampiran rumah keluarganya, telah menghantar suspek ke Hospital Daerah Besut selepas lelaki itu meminta bantuan daripadanya.

"Suspek kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan. Dia kini dalam perhatian polis dan kita akan menahan suspek selepas dia selesai menjalani rawatan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain