suria

PR1MA Mulakan Kerja Persimpangan Bertingkat & Jalan Akses Utama PR1MA Seremban Utara

KUALA LUMPUR: Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) pada Sabtu mengumumkan pelaksanaan kerja-kerja pembinaan persimpangan bertingkat dan jalan akses dari pembangunan PR1MA Seremban Utara ke Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

Ini akan menyediakan akses mudah untuk lebih 20,000 penduduk di Temiang, Sikamat, Ampangan, Nilai, Mambau, Senawang, Paroi dan Lobak, kata PR1MA dalam satu kenyataan di sini.

Persimpangan bertingkat dan jalan akses ke LEKAS sepanjang 44.3 km itu yang menghubungkan Seremban ke Kuala Lumpur melalui Kajang, merupakan laluan alternatif yang penting untuk ke Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban yang sering sesak kepada penduduk Seremban.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias berkata, ini dijangka dapat merancakkan pertumbuhan di kawasan sekitar dan seterusnya memberikan impak positif ke atas nilai hartanah di sana.

"Kami terus melaksanakan komitmen kami untuk memberikan rumah gaya hidup mampu milik di 50 lokasi strategik di seluruh pusat bandar seluruh negara menjelang 2013," katanya.

PR1MA Seremban Utara ialah sebahagian daripada pembangunan PR1MA Seremban yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada September 2012 untuk menawarkan 5,700 unit rumah mampu milik di kawasan itu.

Pembeli yang layak boleh mendaftar menerusi laman sesawang PR1MA di www.pr1ma.my. -BERNAMA

Artikel Lain