suria

Polis Tahan 23 Lelaki Terlibat Pergaduhan di George Town

GEORGE TOWN: Polis menahan 23 lelaki dan merampas 18 kapak dan satu tukul besi ketika cuba mencetuskan pergaduhan di sebuah kelab di Jalan Utama di sini malam Khamis.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata tujuh daripada mereka adalah remaja yang berumur antara 14 hingga 17 tahun.

"Pihak polis menerima panggilan daripada orang awam pada 10.30 malam memberitahu ada pergaduhan. Bertindak atas maklumat itu polis mengepung kawasan berkenaan dan dapat meleraikan pergaduhan.

"Ini merupakan satu perancangan pergaduhan antara pemilik kelab dengan kumpulan daripada luar. Kalau tidak diambil tindakan cepat, mungkin akan berlaku satu pergaduhan besar dan menyebabkan kecederaan kedua belah pihak," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Beliau berkata polis melepaskan satu das tembakan bagi meleraikan pergaduhan itu dan seramai 45 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan 25 anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah membantu meleraikan pergaduhan itu.

Abdul Rahim berkata ujian saringan air kencing mendapati enam daripada mereka positif dadah.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan reman bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan.

Katanya polis juga sedang mengesan dua lagi lelaki Tho Tong Eng, 44, dan Yeong Kah Man, 22, bagi membantu siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi balai polis berhampiran. -BERNAMA

Artikel Lain