suria

PM Tiba Untuk Lawatan Kerja Ke Terengganu

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini, dengan pesawat khas pada kira-kira 9.20 pagi Sabtu untuk lawatan kerja sehari ke Terengganu.

Ketibaan Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor disambut Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said merangkap Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri beserta isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan pemimpin-pemimpin parti Barisan Nasional (BN) negeri.

Perdana Menteri akan merasmikan Program Jelajah Janji Ditepati yang akan berlangsung di Dataran Shahbandar di sini dan sebelum itu mengadakan tinjauan mesra di Pasar Besar Kedai Payang di sini dan bersarapan bersama rakyat di tempat sama.

Pada sebelah petang, Perdana Menteri akan menghadiri majlis perjumpaan tertutup dengan pemimpin parti komponen BN negeri di Pulau Duyong.

Rosmah pula akan menghadiri majlis berasingan iaitu merasmikan Taska PERMATA Keluarga di Kampung Serdang Baru Bukit Tunggal di sini.

Najib dan isteri dijadual pulang ke ibu negara selepas majlis itu. BERNAMA

Artikel Lain