suria

Peruntukan RM15 Juta Baik Pulih Sekolah, Bina Pusat Sukan Di Pensiangan

PENSIANGAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Sabtu mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi membaik pulih sekolah-sekolah dan RM5 juta bagi pembinaan sebuah pusat riadah dan sukan di daerah Pensiangan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran ketika mengumumkan peruntukan itu, berkata kerajaan amat prihatin dengan kebajikan pelajar di luar bandar termasuk di Pensiangan yang mempunyai generasi muda yang ramai.

"Kerajaan Barisan Nasional (BN) juga ada kelemahan tetapi kita akan cuba memperbaiki kelemahan kita sebaik mungkin.

"Misalnya sekolah. Saya difahamkan di Pensiangan ada banyak sekolah. Sekolah yang (keadaannya) baik dan ada juga sekolah yang mempunyai kerosakan, sebab itu kita bagi peruntukan untuk memperbaiki...yang penting kita jangan abaikan, mesti perbetulkan (kelemahan)," katanya pada Majlis Bersama Rakyat Pensiangan di Nabawan di sini Sabtu.

Beliau berharap rakyat akan terus menyokong BN sebagai kerajaan bagi membolehkan lebih banyak bantuan dapat disalurkan.

Beliau berkata antara bantuan kerajaan yang akan diteruskan jika rakyat terus memberi mandat kepada BN ialah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Kalau tak sokong BN, maka tak ada lagi BR1M. Ini umpama tolak rezeki. Lebih banyak kita (kerajaan) beri bantuan, rezeki pun makin bertambah. Jadi kita dapat beri banyak bantuan lagi."

Muhyiddin juga meminta rakyat supaya tidak berkira siapa calon BN yang akan diletakkan bertanding pada pilihan raya umum nanti kerana menurutnya semua calon BN merupakan calon yang boleh menang dan mampu melaksanakan tugas untuk rakyat. BERNAMA

Artikel Lain