suria

Pemimpin BN Labuan Jangan Ambil Mudah PRU13 Walaupun Yakin Menang

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diberi penerangan oleh Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) Datuk Dr Sr Kamarul Rashdan Salleh (kiri) mengenai contoh model rumah mampu milik pada majlis pecah tanah Projek Perumahan Mampu Milik di Kampung Ganggarak di Labuan pada Sabtu.- Foto BERNAMA.

LABUAN: Para pemimpin dan anggota Barisan Nasional (BN)di Labuan diingatkan agar tidak mengambil mudah persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) biarpun mereka dijangka dapat mempertahankan kerusi Parlimen Labuan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata anggota BN di sini perlu terus bekerja keras bagi meningkatkan peluang untuk memenangi Parlimen Labuan dengan majoriti lebih besar menerusi sokongan lebih kuat daripada pengundi.

"Kalau dahulunya kita sudah mendapat majoriti yang agak selesa, kali ini kita mahu majoriti yang lebih besar lagi untuk menunjukkan rakyat dan pengundi di Labuan bukan sahaja mahukan Barisan Nasional tetapi memberi sokongan padu supaya usaha pembangunan di Labuan ini dapat berterusan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah Projek Perumahan Mampu Milik di Kampung Ganggarak di sini, Sabtu.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata berdasarkan taklimat oleh pengerusi BN Labuan yang juga Anggota Parlimen Labuan, Datuk Yussuf Mahal, sejurus tiba di sini, jentera BN kawasan ini berada dalam keadaan cukup bersedia untuk menghadapi PRU-13.

"Majoriti pengundi (Labuan) sudah tahu tentang apa yang telah kerajaan Barisan Nasional lakukan dan pada waktu sekarang ini mereka sudah bersedia untuk sekali lagi mengulangi sokongan yang mereka telah beri kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Dalam ucapannya di majlis itu, Muhyiddin berkata kerajaan BN sentiasa mengambil inisiatif untuk mempercepatkan usaha pembangunan hanya dengan tujuan untuk mendahulukan kepentingan rakyat. Katanya pelaksanaan projek perumahan mampu milik di Kampung Ganggarak ini merupakan satu daripada bukti inisiatif ini dengan beliau sendiri meluluskan permohonan untuk skim perumahan itu dalam lawatannya ke Labuan pada Oktober lepas. "Apa yang rakyat mahu dan kerajaan rancang, maka kita perlu laksanakan dalam tempoh seberapa cepat yang mungkin," katanya.

Beliau turut berharap Suruhanjaya Perumahan Negara Berhad dan pihak lain yang terlibat dalam pembangunan projek ini akan dapat melaksanakan fasa susulan pembangunan perumahan berikutan sambutan menggalakkan daripada rakyat Labuan untuk memohon sejumlah 500 unit rumah yang ditawarkan. "Bila pendaftaran dimulakan, saya diberitahu lebih 6,000 penduduk di Labuan sudah memohon untuk memiliki rumah di sini. "Maknanya, selepas fasa pertama ini terbina, kita harap adalah fasa kedua dan fasa ketiga supaya mereka yang tidak berpeluang mendapat rumah akhirnya akan dapat memiliki rumah yang mereka idam-idamkan," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain