suria

Pembangkang Sebenarnya Takut Tandatangani Ikrar Integriti P/Raya -Nazri

IPOH: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan pemimpin pembangkang yang memberi pelbagai alasan untuk tidak menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International menunjukkan mereka takut kerana menyembunyikan sesuatu.

"Kalau dia (pemimpin pembangkang) tidak mahu tandatangan maknanya ada sesuatu yang dia tidak berani untuk tandatangan kerana pengakuan dia itu tidak sama dengan apa yang dia buat.

"Sekiranya tiada masalah, tidak ada kebimbangan untuk menandatangani ikrar ini cuma orang yang takut memberi pelbagai alasan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina dan perasmian khidmat bas ekspres ke Cameron Highlands di Terminal Amanjaya di sini, Sabtu.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini menegaskan bahawa pihak PAS tidak akan berbuat demikian dengan alasan niat dalam hati adalah lebih penting daripada menandatangani ikrar.

"Masa dia (Nik Aziz) dilantik sebagai Menteri Besar dia angkat sumpah depan Sultan kan...sepatutnya dia kena bagi tahu Sultan tak perlu tandatangan, yang penting dalam hati. Ini semua cakap tak serupa bikin, ini cuma politik saja, kalau tak buat salah tandatangan sajalah," katanya.

Mohamed Nazri yang juga Anggota Parlimen Padang Rengas berkata beliau akan mengikut jejak langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menandatangani ikrar itu.

"Sampai masa saya akan tandatangan bagi menyatakan yang saya tidak terlibat dengan rasuah, jenayah, saya tidak ada hutang dengan kerajaan," katanya.

Beliau juga yakin semua calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada pilihan raya umum ke-13 akan menandatangani ikrar itu.

Najib menandatangani Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International pada Rabu, membuat perisytiharan terbuka untuk mendukung integriti dan memperteguh komitmen beliau terhadap agenda negara dalam memerangi rasuah terutamanya dalam pilihan raya umum ke-13.

Ikrar Integriti Pilihan Raya Transparency International merupakan kontrak sosial secara sukarela, dengan calon yang akan bertanding pada pilihan raya umum, berikrar untuk menggalakkan integriti, tadbir urus baik, ketelusan dan akauntabiliti dalam kerajaan dan mendukung kedaulatan undang-undang.

Calon yang menandatangani ikrar itu bersetuju mematuhi Akta Kesalahan-kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturannya; dan memastikan tindakan mereka adalah untuk faedah orang ramai dan bukan untuk kepentingan sendiri. -BERNAMA

Artikel Lain