suria

Orang Ramai Teruja Temui PM Di Pasar Kedai Payang

KUALA TERENGGANU: Suasana sekitar Pasar Kedai Payang di pagi hujung minggu ini tidak seperti lazimnya apabila sungguh ceria dan meriah dengan orang ramai yang berpusu-pusu untuk menyambut dan melihat lebih dekat kelibat pemimpin nombor satu negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang tiba pagi ini untuk menghadiri program Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri di Dataran Shahbandar di sini, terdahulu mengambil kesempatan membuat tinjauan mesra di pasar itu.

Diiringi Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, pemimpin Barisan Nasional (BN) serta pemimpin tempatan, Najib sebaik tiba di pasar itu kira-kira pukul 10 pagi, bersalaman dengan orang ramai sebelum melawat gerai-gerai di situ.

Lebih 5,000 pengunjung terdiri pelbagai lapisan masyarakat dan kaum serta peniaga dilihat begitu teruja dan berpusu-pusu tidak mahu melepaskan peluang bersalaman dan bersapa dengan pemimpin nombor satu negara dalam lawatan singkat itu.

Seorang peniaga, Robaniah Adawiyah Abdullah, 29, berkata dia tidak menyangka sapaannya membawa Najib dan Rosmah singgah di gerainya untuk mencuba serunding hasil tangan turun-temurun keluarganya yang dijual di pasar itu sejak 10 tahun lalu.

"Tiba-tiba PM dan Datin Seri berhenti di gerai saya. Saya tergamam seketika tetapi dalam masa yang sama gembira dan terharu sebelum saya terus menghulurkan kepada mereka untuk merasai serunding daging special.

"Terima kasih banyak-banyak kepada perdana menteri dan isteri kerana sudi menikmati serunding resipi keluarga kami," katanya.

Peniaga sayur, Muhammad Awang, 56, menyifatkan hari ini adalah hari bertuah kerana pertama kali dapat bertemu dari dekat dan bersalaman dengan Perdana Menteri sejak berniaga di sini lebih 10 tahun lepas.

"Kerajaan BN di bawah kepimpinan Najib ternyata banyak membawa perubahan dan kesan melalui slogan dan konsep yang diuar-uarkan iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan serta Janji Ditepati," katanya.

Najib kemudiannya meneruskan tinjauan mesra ke beberapa gerai makanan di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang terletak 500 meter dari pasar dengan menaiki beca seorang veteran, Abdullah Muhammad.

Perdana Menteri turut menyertai orang ramai bersarapan di gerai makanan di hentian itu.

Beliau menikmati hidangan ketupat palas, kayu keramat dan nasi dagang berlaukkan ikan tongkol yang sinonim dengan makanan tradisional negeri ini.

Sarapan paginya itu sesekali diselang-seli dengan sapaan orang ramai, dan ada yang sempat berbual dan mengambil kesempatan untuk menyuarakan sesuatu ke telinga pemimpin nombor satu negara itu.

Perdana Menteri kemudiannya beredar ke Dataran Shahbandar untuk program berikutnya. BERNAMA

Artikel Lain